PETRA JAYA: Sebanyak 336 pertanyaan lisan dan bertulis dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, berkata jumlah itu diterima sehingga tarikh tutup pada 28 September lalu, melibatkan 40 ADUN.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 264 ialah pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh 37 ADUN, manakala 72 lagi merupakan pertanyaan bertulis daripada 13 ADUN.
Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima jumlah pertanyaan tertinggi, iaitu sebanyak 56.
Mohamad Asfia berkata, tiada pertanyaan yang dikemukakan oleh ADUN ditolak.
Dalam perkembangan berkaitan, pemilihan senator baharu akan diadakan berikutan tempoh perkhidmatan Senator Michael Mujah Lihan yang akan berakhir pada 10 Disember 2026.
Beliau memaklumkan perkara itu pada sidang media bagi menerangkan urusan persidangan DUN Sarawak yang dijadual berlangsung selama lapan hari, bermula 12 Oktober ini.
Persidangan kali ini turut menyaksikan pembentangan empat rang undang-undang kerajaan, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026, yang menjadi asas kepada pembentangan Belanjawan Sarawak 2027.
Tiga rang undang-undang lain ialah Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2026), 2026, Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 dan Rang Undang-Undang Hari Kelepasan Am (Pindaan), 2026.
Perbahasan Belanjawan Sarawak 2027 oleh ADUN kerajaan dan pembangkang dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober, manakala sesi penggulungan oleh menteri akan diadakan dari 19 hingga 21 Oktober.
Sementara itu, DUN Sarawak tidak menerima sebarang usul ADUN persendirian di bawah Peraturan Mesyuarat 23 setakat tarikh tutup pada 2 Oktober lalu.
Persidangan tidak akan berlangsung pada 17 dan 18 Oktober, manakala semua urusan persidangan dijadual bermula pada 9.00 pagi di Dewan Persidangan, Aras 8, Bangunan DUN Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi



