Penunggang motosikal warga emas maut dalam kemalangan di Jalan Lundu-Sematan

Facebook
WhatsApp
WARGA emas berusia 73 tahun maut dalam kemalangan di Jalan Lundu-Sematan pagi tadi.

LUNDU, 9 Oktober: Seorang penunggang motosikal berusia 75 tahun maut manakala isterinya yang berusia 73 tahun cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di KM 8.5 Jalan Lundu-Sematan, berhampiran pusingan U Kampung Sedemak, kira-kira 10.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lundu, Supt Sudirman Kram berkata, kemalangan berlaku apabila sebuah lori Hino yang dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang keluar dari kawasan pusingan U ketika dalam perjalanan dari Ladang Abadi Utama, Kampung Sedaing menuju ke pekan Lundu.

Lori berkenaan kemudian dirempuh oleh sebuah motosikal Yamaha Lagenda yang bergerak lurus dari arah Sematan menuju ke Lundu.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Isteri mangsa yang membonceng motosikal itu turut mengalami kecederaan di bahagian kepala. Wanita berkenaan dibawa dengan ambulans ke Hospital Lundu sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lundu bagi tujuan bedah siasat.

Sudirman berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lundu untuk pemeriksaan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Oleh Connie Chieng