Belanjawan 2027: RUU Entiti Milik Kerajaan bakal digubal perketat tatakelola – Anwar

Facebook
WhatsApp
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan, membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan akan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat tatakelola syarikat kerajaan dan badan berkanun yang diamanahkan mengurus wang serta aset rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu bertujuan mengekang keterlanjuran seperti skandal yang berlaku sebelum ini daripada berulang.

Beliau berkata penggubalan RUU itu sebahagian daripada usaha memperteguh agenda reformasi MADANI yang diteruskan ketika pentadbiran kerajaan memasuki tahun kelima.

“Bagi memperkukuh tatakelola dan ketelusan pengurusan kewangan awam, semua kutipan bayaran balik pinjaman termasuk pinjaman pendidikan dan perniagaan yang dibiayai melalui peruntukan mengurus dan pembangunan yang disalurkan secara langsung kepada Badan Berkanun Persekutuan, hendaklah digunakan semula hanya bagi tujuan dan kumpulan sasaran yang diluluskan.

“Kerajaan akan berganding bahu dengan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) dan sektor korporat dalam memantapkan penyampaian kepada rakyat,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan akan meningkatkan ketelusan perolehan awam dengan mendedahkan maklumat projek termasuk nama kontraktor dan nilai kontrak selaras dengan penguatkuasaan Akta Perolehan Kerajaan bermula 2027.

“Ini suatu perubahan yang sangat berani oleh kerajaan, bermula tahun depan semua jumlah kontrak, prosesnya, kelulusan (dan) syarikat terlibat, semua akan didedahkan kepada awam untuk dinilai keberkesanannya,” kata beliau.

Perdana Menteri juga berkata badan penguat kuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) turut diperuntukkan RM1.1 bilion bagi memperhebat keupayaan operasi.

Selain itu, Anwar berkata kerajaan turut mengkaji penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan.

Undang-undang kontrak, jualan barangan dan pengantaraan juga diteliti bagi mempercepat penyelesaian pertikaian. – Bernama