PETRA JAYA, 9 Oktober: Empat rang undang-undang kerajaan akan dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober ini, termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026, yang menjadi asas pembentangan Belanjawan 2027 Sarawak.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nasar, berkata persidangan berkenaan dijadual berlangsung selama lapan hari, dengan persidangan tidak diadakan pada 17 dan 18 Oktober.
Beliau berkata, Premier Sarawak akan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026, untuk bacaan kali pertama dan kedua pada 12 Oktober, manakala bacaan kali ketiga dijadualkan pada 21 Oktober.
Perbahasan oleh ADUN kerajaan dan pembangkang mengenai belanjawan itu pula dijadual berlangsung dari 14 hingga 16 Oktober.
Selain itu, Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2026), 2026, akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan bacaan pertama pada 12 Oktober, diikuti bacaan kedua dan ketiga pada 14 Oktober.
Dua lagi rang undang-undang yang akan dibentangkan ialah Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026, oleh Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, serta Rang Undang-Undang Hari Kelepasan Am (Pindaan), 2026, oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.
Kedua-dua rang undang-undang pindaan itu dijadual dibentangkan untuk bacaan pertama pada 12 Oktober, manakala bacaan kedua dan ketiga berlangsung pada 13 Oktober.
Mohamad Asfia berkata, persidangan kali ini turut merangkumi pembentangan 18 laporan tahunan dan penyata kewangan, enam kertas perintah, satu laporan prosiding, satu Hansard dan satu kertas jawapan bertulis.
Penggulungan oleh menteri pula dijadual berlangsung pada 19 hingga 21 Oktober.
Persidangan DUN akan bermula pada 9.00 pagi di Dewan Persidangan, Aras 8, Bangunan DUN Sarawak.
Oleh Afiq Sallehi




