KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif baharu dan pelaburan bernilai tinggi bagi memacu peralihan tenaga boleh baharu serta kecekapan tenaga dalam Belanjawan 2027 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) itu yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”, berkata agenda peralihan tenaga mesti diperhebat bagi menjamin kelangsungan bekalan tenaga negara dalam jangka panjang.
Antara insentif yang diumumkan ialah insentif NUR MADANI, iaitu pemberian rebat hingga RM200 kepada pembeli penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga bagi menangani peningkatan penggunaan elektrik di rumah berikutan faktor cuaca panas.
Selain itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Tenaga Nasional Berhad (TNB) melabur sebanyak RM15 bilion untuk memperkukuh Grid Nasional bagi menjamin kelangsungan permintaan elektrik negara.
Beliau berkata UEM Lestra Berhad melabur RM1 bilion merangkumi pelaksanaan projek penyimpanan tenaga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan projek tenaga hibrid berkapasiti satu gigawatt di Johor.
Anwar berkata Dana Iklim Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bernilai RM1 bilion juga akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk projek hijau seperti pembangunan tenaga boleh baharu dan penyahkarbonan.
Bagi menggalakkan lebih banyak syarikat beralih kepada teknologi hijau dan lestari, kerajaan bersetuju melanjutkan dan menambah baik galakan cukai hingga 31 Dis 2030.
Lanjutan itu merangkumi Elaun Cukai Pelaburan hingga 100 peratus bagi syarikat yang menjalankan projek teknologi hijau dan lestari, stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV), serta syarikat yang membeli aset teknologi hijau untuk kegunaan sendiri.- Bernama




