12 perkara MA63 telah dimuktamadkan kerajaan MADANI – PM Anwar

Facebook
WhatsApp
KAKITANGAN Majlis Kraf Sarawak Therisa Jimey, 22, (kanan) dan Nur Aini Bashirah, 27, mengikuti pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi telefon pintar, hari ini, di Dewan Rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Sebanyak 12 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah dimuktamadkan di bawah Kerajaan MADANI, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata antaranya mewujudkan wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Pelabuhan Bintulu diserah dan menjadi pelabuhan milik Sarawak.

“Perkara lain yang dimuktamad ialah MASWings diserah kepada Sarawak menjadi AirBorneo, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM209 juta sebagai subsidi yang memanfaatkan 820,000 penumpang di pedalaman.

“Selain itu, kuasa kawal selia elektrik diserah kepada Sabah, sementara Kerajaan Persekutuan masih menyediakan RM600 juta bagi menjamin kelangsungan bekalan,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai Pemberian Khas kepada Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri berkata bayarannya akan dilunaskan sebelum hujung tahun, dengan rundingan bersama kedua-dua negeri diteruskan untuk memuktamadkan formula tahunan yang adil serta mampan.

“Selama puluhan tahun, Pemberian Khas tidak seiring dengan keperluan pembangunan Sabah dan Sarawak. Kerajaan MADANI telah meningkatkan kadar pemberian khas sebanyak tiga kali, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.

“Perjanjian MA63 ini harus dilihat sebagai sebahagian daripada Waad Nasional (tangungjawab nasional yang mesti dijawab secara nasional),” katanya. – Bernama