KUALA LUMPUR, 9 Oktober: Kerajaan menyediakan jaminan pembiayaan perumahan hingga RM20 bilion menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi membantu 80,000 pembeli rumah pertama, khususnya golongan bekerja sendiri yang tidak mempunyai pendapatan tetap.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan turut bercadang memberikan pengecualian penuh duti setem bagi perjanjian pinjaman dan surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama berharga hingga RM500,000.
Beliau berkata bagi rumah berharga hingga RM750,000, pengecualian penuh duti setem diberikan untuk RM500,000 pertama, manakala baki harga rumah menikmati pengecualian sebanyak 50 peratus dan terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030.
“Hampir RM1 bilion turut disediakan bagi projek perumahan seperti Rumah Mesra Rakyat dan Program Residensi Rakyat, termasuk empat projek baharu di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Pertang, Terengganu.
“Bandar MADANI Bukit Jalil akan dibangunkan sebagai kawasan kediaman rakyat yang lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk sekolah vertikal, dengan pendaftaran fasa pertama dibuka mulai Isnin ini,” kata beliau ketika membentangkan Belanjawan 2027 yang bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menyediakan tanah strategik seluas 50 ekar (20 hektar) di sekitar Kuala Lumpur bernilai RM1 bilion sebagai endowmen baharu kepada Yayasan Pelaburan Bumiputra bagi memperkukuh ekonomi dan pemilikan bumiputera.
Beliau berkata tanah berkenaan akan dibangunkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan mengambil kira keperluan perumahan mampu milik serta kepentingan bumiputera.
Kerajaan juga, kata beliau, telah mewartakan 20 hektar tanah di Kuala Lumpur sebagai Tanah Rizab Melayu, dengan Petronas memulakan pembangunan 10 ekar (4 hektar) pertama bagi menyediakan perumahan mampu milik.
“Kerajaan turut bersetuju supaya tanah kerajaan hampir 11 ekar di Belfield, Kuala Lumpur dibangunkan bagi membina sekurang-kurangnya 2,500 unit Rumah MADANI dengan 70 peratus dikhususkan untuk bumiputera,” kata beliau.- Bernama




