Akhlak seorang muslim di media sosial

Facebook
WhatsApp
SUASANA di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi susulan arahan penutupan sementara institusi pendidikan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya berikutan keadaan jerebu ketika ini. Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan arahan Kementerian Pendidikan (KPM), selain menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang amat prihatin terhadap keselamatan dan kesihatan murid. Foto BERNAMA

MEDIA sosial telah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia pada masa kini. Melalui Facebook, WhatsApp, TikTok, Instagram dan pelbagai platform lain, seseorang dapat berkongsi pandangan, berita, gambar dan pengalaman dalam sekelip mata. Namun, kemudahan ini turut menuntut seorang Muslim supaya sentiasa menjaga akhlak dan batas agama.

Islam bukan sahaja mengajar umatnya tentang ibadah seperti solat dan puasa, malah turut mengatur cara seseorang berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang lain. Setiap perkataan yang ditaip, komen yang ditulis dan perkongsian yang dibuat perlu dipertimbangkan kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.

Malaikat Bersama Kita

Walaupun seseorang menggunakan media sosial bersendirian di dalam bilik, hakikatnya dia tidak pernah benar-benar bersendirian. Allah SWT sentiasa mengetahui segala perbuatan manusia. Bahkan setiap perkataan yang diucapkan dicatat oleh malaikat.

Allah SWT berfirman: “Tidak ada suatu perkataan yang diucapkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa mencatat.” (maksud Surah Qaf: 18) 

Jika perkataan yang keluar daripada mulut pun dicatat, maka tulisan yang kita taip di media sosial juga tidak terlepas daripada pengetahuan Allah SWT. Status, komen, mesej, perkongsian dan segala bentuk komunikasi yang dilakukan oleh seorang Muslim hendaklah dipastikan tidak mengandungi fitnah, penghinaan, umpatan atau perkara yang boleh menyakiti orang lain.

Rasulullah SAW juga bersabda: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (maksud hadis Riwayat Bukhari) 

Hadis ini memberikan panduan yang sangat jelas dalam penggunaan media sosial. Jika sesuatu perkongsian membawa manfaat, maka kita boleh menyampaikannya. Jika tidak pasti akan kebenarannya, lebih baik kita berhenti dan menyemak terlebih dahulu. Jika sesuatu komen hanya bertujuan menghina atau mencetuskan pergaduhan, maka diam adalah lebih selamat.

Allah SWT turut mengingatkan manusia supaya menyelidiki berita yang diterima. Dalam Surah al-Hujurat ayat 6, Allah SWT memerintahkan orang beriman supaya memeriksa sesuatu berita agar tidak menimpakan keburukan kepada orang lain kerana kejahilan.

Mempamerkan Keperibadian Muslim

Media sosial juga merupakan ruang untuk seorang Muslim mempamerkan akhlak dan keperibadiannya. Tidak salah berkongsi kejayaan, kegembiraan atau pandangan, tetapi semuanya perlu dilakukan dengan adab dan niat yang baik.

Seorang Muslim tidak sepatutnya menggunakan media sosial sebagai tempat untuk membuka aib orang lain, menghina golongan tertentu, mencaci, menyebarkan gambar tanpa izin atau membalas komen buruk dengan kata-kata yang lebih buruk. Perbezaan pandangan juga tidak seharusnya menyebabkan kita kehilangan adab.

Allah SWT berfirman: “Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain, boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.”(maksud Surah al-Hujurat: 11) 

Ayat ini amat relevan dengan kehidupan di media sosial. Kadangkala seseorang berasa bebas menulis sesuatu kerana tidak berhadapan secara langsung dengan orang yang menjadi sasaran. Namun, seorang Muslim perlu mengingati bahawa kemuliaan akhlak tidak berubah hanya kerana komunikasi berlaku di alam maya.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah sesuatu yang diletakkan pada timbangan seorang mukmin pada hari kiamat yang lebih berat daripada akhlak yang baik.” (maksud Hadis Riwayat Termizi) 

Oleh itu, jadikan media sosial sebagai medan menyebarkan kebaikan, ilmu, nasihat dan perkara yang bermanfaat. Sebelum menekan butang “hantar” atau “kongsi”, tanyalah kepada diri sendiri: adakah perkara ini benar? Adakah ia bermanfaat? Adakah ia akan menyakiti orang lain? Dan yang paling penting, adakah Allah SWT reda dengannya?

Sesungguhnya seorang Muslim bukan hanya dikenali melalui pakaian dan ibadahnya, tetapi juga melalui tutur kata, tulisan dan akhlaknya. Media sosial mungkin berada di alam maya, tetapi setiap perbuatan kita tetap berada dalam pengetahuan Allah SWT dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.


Kisah Abu Qilabah

BANYAK hikmah yang dapat kita ambil iktibar, salah satunya dari kisah Abu Qilabah sahabat Nabi yang mengajarkan tentang erti bersyukur. Nama lengkap beliau ialah ‘Abdullah bin Zaid al Jarmi dan beliau wafat di Negeri Syam pada tahun 104 Hijriah. Kisahnya begini, suatu hari ada seseorang sedang bermusafir dari satu kota ke kota lain dengan menunggang kuda.

Setelah dia kehabisan bekal, dia melihat ada satu khemah di padang pasir yang luar itu. Kemudian, dia memasuki dan melihat pemandangan yang memilukan di dalam khemah tersebut. Orang yang berbaring inilah Abu Qilabah. Lalu, pemuda tersebut bertegur dengannya.

Pemuda: Saya musafir yang kebetulan lalu di sini dan memerlukan makanan dan minuman. Saya kehabisan bekalan. 

Abu Qilabah: “Alhamdulillah, Segala puji bagi Allah yang menyempurnakan nikmatNya kepada saya.

Pemuda: Wahai tuan, apa yang membuat kamu bersyukur kepada Allah SWT? Apa yang kamu syukuri, nikmat apa yang ada?

Abu Qilabah: “Saya boleh mengucapkan kalimah ini sahaja sudah menutupi semua kekurangan saya ini, sebuah nikmat yang tidak terhingga. Alhamdulillah atas semuanya.”

Abu Qilabah meminta tolong kepada pemuda tersebut untuk mencari anak lelakinya yang sudah tiga hari tidak pulang. Sememangnya hanya beliau dan anaknya sahaja yang berada di padang pasir sebelum ni.

Kemudian, pemuda tersebut melihat ada jenazah manusia dikerumuni oleh singa. Dia bingung bagaimana cara untuk mengatakan hal sebenar dan pemuda itu pun meminta Abu Qilabah menceritakan kisah Nabi Ayub. 

Abu Qilabah mengetahui dan tersenyum lalu mengatakan: “Alhamdulillah, anak saya telah mendahului saya ke syurga”. Tidak lama setelah itu, Abu Qilabah pun meninggal dunia. Menurut agama, anak yang soleh itu seseorang yang menjaga ibadahnya kepada Allah dan berbakti kepada orang tuanya akan dikurniakan ganjaran syurga.

Hanzalah Azman

Donuf sasar 100 cawangan menjelang 2029

JOHOR BAHRU: Pengasas Donuf, produk gabungan donat dan pastri berkrim (creampuff) rangup, menyasarkan membuka 100 cawangan di seluruh negara menjelang

Jejakmu masih ada

SETIAP yang bermula pasti akan tiba pada akhirnya. Begitulah hukum kehidupan yang tidak dapat dielakkan. Ada pertemuan yang membuka jalan,