KUCHING, 8 Oktober: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) digesa segera mengambil tindakan membaiki kerosakan serius di Jalan Landeh Cinle, berhampiran persimpangan Lorong 10, yang semakin membahayakan keselamatan pengguna jalan raya.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Soo Tien Ren berkata, masalah berkenaan telah dibangkitkan secara terbuka pada 16 September lalu, namun sehingga kini, selepas lebih tiga minggu, tiada kerja pembaikan dilaksanakan.
Soo yang juga Timbalan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Sarawak berkata, pemeriksaan terbaharu mendapati keadaan jalan semakin teruk dengan rekahan yang semakin meluas, permukaan asfalt pecah serta perbezaan aras jalan yang ketara.
“Jalan ini sememangnya sudah sangat sempit, hampir tidak cukup untuk sebuah kenderaan melaluinya pada satu-satu masa.

“Dengan keadaannya yang terus merosot, penduduk terpaksa melalui kawasan yang rosak itu dengan penuh berhati-hati setiap hari.
“Penunggang motosikal khususnya berdepan risiko tinggi hilang kawalan dan terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Menurut Soo, MPP tidak sepatutnya tidak menyedari masalah tersebut memandangkan penduduk telah beberapa kali mengemukakan aduan, selain perkara itu turut dibangkitkan secara terbuka lebih tiga minggu lalu.
“Saya benar-benar tidak faham berapa lama lagi penduduk perlu menunggu untuk jalan yang rosak teruk dan digunakan setiap hari ini dibaiki.
“Adakah kita perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan sebelum MPP akhirnya bertindak?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan keutamaan MPP dalam menangani masalah infrastruktur asas, khususnya apabila jalan yang mengalami kerosakan itu terletak tidak jauh dari pejabat pihak berkuasa tempatan berkenaan.
“MPP mampu membelanjakan RM60 juta untuk sebuah bangunan pejabat baharu, tetapi tidak mampu memastikan jalan yang terletak hampir di halaman sendiri diselenggara dengan baik.
“Jika MPP sendiri tidak mampu menjaga kawasan di halaman belakangnya, bagaimana penduduk mahu yakin bahawa masalah infrastruktur di kawasan Padawan yang lebih luas mendapat perhatian sewajarnya?” soalnya.
Soo berkata, DAP konsisten dengan pendirian bahawa pihak berkuasa tempatan perlu mengutamakan penggunaan peruntukan awam bagi penyediaan dan penyelenggaraan kemudahan asas yang memberi kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat.
Katanya, keutamaan tersebut termasuk penyelenggaraan jalan raya, sistem perparitan dan kemudahan awam lain demi kesejahteraan penduduk.
“Penduduk tidak meminta projek pembangunan besar atau kemudahan mahal. Mereka hanya meminta jalan yang selamat dan boleh dilalui.
“Ini adalah antara tanggungjawab paling asas pihak berkuasa tempatan. Penduduk tidak sepatutnya perlu membuat aduan berulang kali atau membawa masalah mereka kepada media hanya untuk mendapatkan perhatian MPP,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa MPP segera menghantar pegawai kejuruteraan untuk menjalankan pemeriksaan di lokasi berkenaan, mengenal pasti punca sebenar kerosakan serta melaksanakan kerja pembaikan secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa tindakan pembaikan tidak seharusnya terhad kepada kerja menampal permukaan jalan secara sementara, sebaliknya perlu menangani punca kerosakan bagi memastikan keselamatan pengguna dalam jangka panjang.
Selain itu, Soo turut menggesa langkah keselamatan sementara dilaksanakan sementara menunggu pembaikan kekal bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk dan mengurangkan risiko kemalangan.
“Saya ingin mengingatkan MPP sekali lagi bahawa apa yang diperlukan rakyat bukanlah bangunan pejabat perbandaran yang mengagumkan, tetapi pihak berkuasa tempatan yang benar-benar mampu menyelesaikan masalah mereka.
“Jika MPP sendiri tidak mampu menyelenggara jalan di halaman belakangnya, apa gunanya mempunyai bangunan pejabat yang begitu gah?” soalnya.
Soo berkata, beliau akan terus memantau keadaan jalan tersebut dan menggesa MPP memberikan maklum balas secara langsung kepada penduduk, termasuk menetapkan garis masa yang jelas bagi pelaksanaan kerja pembaikan.
“Keselamatan penduduk mesti diutamakan. MPP perlu bertindak sekarang sebelum kemalangan yang boleh dielakkan berlaku,” tegasnya.
Oleh Connie Chieng





