KUALA LUMPUR, 8 Oktober: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang juga pemilik jet peribadi yang dikaitkan dengan kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah di Laos dalam satu serbuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata pemilik syarikat penerbangan persendirian itu ditahan pada 12.00 tengah hari.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati syarikat penerbangan itu memiliki dua pesawat yang turut menawarkan perkhidmatan sewaan jet peribadi.
“Bagi kes ini, pesawat berkenaan telah disewakan dengan kadar bayaran ASD49,500. JSJN sedang mengenal pasti individu yang membuat tempahan penyewaan itu untuk diambil tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hussein berkata susulan penahan itu, pihaknya turut menahan tiga individu lain di lokasi sama bagi tujuan pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Kesemua (empat individu) yang ditahan berumur dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Semalam, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesahkan menyerbu sebuah hangar di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah di Laos pada minggu lepas.
Operasi khas itu dijalankan bersama pasukan JSJN Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (AVSEC) dan Pegawai Kawalan Perjalanan Cawangan Khas (TCO).
Pada 1 Oktober lepas, polis Laos merampas 521 kg crystal methamphetamine di dalam sebuah jet persendirian Learjet yang tiba dari Subang.
Susulan kejadian itu, 13 individu termasuk warganegara Malaysia, Singapura dan Filipina ditahan oleh pihak berkuasa Laos bagi membantu siasatan kes penyeludupan dadah rentas negara berkenaan.- Bernama





