Bunyi riuh bawah rumah bongkar ular sawa intai sangkar ayam

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Spaoh berjaya menangkap ular sepanjang 1.3 meter dari sangkar ayam.

SPAOH, 8 Oktober: Hasrat seekor ular sawa untuk menjadikan ayam peliharaan sebagai santapan awal pagi tidak kesampaian apabila tindakan pantas Angkatan Pertahanan Awam (APM) Spaoh berjaya menggagalkan “misi” reptilia berkenaan di Kampung Hulu Spaoh, awal pagi tadi.

Menurut kenyataan APM Spaoh, kejadian berlaku ketika suasana di kediaman seorang penduduk masih sunyi apabila penghuni rumah berkenaan dikejutkan bunyi riuh-rendah dari arah bawah rumah.

Curiga dengan bunyi tersebut, penduduk terbabit memberanikan diri memeriksa kawasan berkenaan sebelum terkejut apabila mendapati seekor ular sawa sedang mengintai kawasan sangkar ayam miliknya.

Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, pengadu segera menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Spaoh pada 3.02 pagi bagi mendapatkan bantuan kecemasan.

Susulan laporan itu, Skuad Bravo APM Spaoh yang terdiri daripada empat anggota segera digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menangkap reptilia berkenaan.

Setibanya di lokasi, anggota APM melakukan pencarian secara berhati-hati bagi mengesan kedudukan ular sawa yang dipercayai cuba menyembunyikan diri di sekitar kawasan sangkar ayam.

Selepas kira-kira 20 minit melakukan pencarian, anggota akhirnya berjaya menemui reptilia sepanjang 1.3 meter itu yang bersembunyi di bawah susunan atap berhampiran sangkar ayam.

Dengan menggunakan kemahiran khas serta teknik menyepit yang betul, anggota Skuad Bravo berjaya menjinakkan dan menangkap ular sawa berkenaan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Reptilia tersebut kemudiannya dimasukkan dengan selamat ke dalam kotak haiwan berbisa sebelum dibawa ke PKOD Spaoh untuk tindakan selanjutnya.

Tindakan pantas APM itu bukan sahaja menyelamatkan penghuni rumah daripada ancaman reptilia berkenaan, malah memastikan sangkar ayam terbabit tidak menjadi “hidangan percuma” kepada sang sawa.

APM Spaoh turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan haiwan berbisa atau berbahaya, sebaliknya segera mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

Sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Spaoh di talian 083-473006 atau talian kecemasan 999.

Oleh Adi Safarman