KUCHING, 8 Oktober: Padang Merdeka dijangka menjadi tumpuan orang ramai pada Sabtu ini apabila antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung dijangka hadir bagi menyaksikan sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang ke-80.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Amar Julaihi Narawi berkata, persiapan sambutan itu berjalan dengan baik berdasarkan raptai penuh yang berlangsung di Padang Merdeka, hari ini.
“Alhamdulillah, berdasarkan raptai yang kita saksikan bersama dan baru sahaja selesai sebentar tadi, persediaan kita yang begitu rapi berjalan dengan baik.
“Kita berharap keseluruhan acara dapat berjalan dengan lancar pada hari sebenar nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui media selepas menghadiri raptai penuh sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Julaihi berkata, rakyat dari kawasan luar bandar raya Kuching juga dijangka hadir susulan jaringan perhubungan yang menghubungkan pelbagai kawasan di Sarawak.
Menurutnya, lebuh raya Pan Borneo dan lebuh raya Jalan Pesisir, selain jambatan yang telah siap dibina, memudahkan pergerakan rakyat dari pelbagai kawasan untuk hadir ke Kuching.
Sehubungan itu, beliau menyeru kehadirian masyarakat, khususnya penduduk sekitar Kuching, untuk bersama-sama memeriahkan acara sambutan ketika waktu kemuncak pagi.
Selain acara rasmi pada sebelah pagi, Konsert Rakyat turut dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka pada sebelah malam bagi memeriahkan lagi sambutan berkenaan.
Julaihi berkata, penganjuran acara itu merupakan penghargaan kepada rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, di samping menjadi penghormatan sempena Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan bahawa aspek keselamatan sepanjang sambutan akan diberi perhatian sewajarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi berkaitan akan sentiasa bersiap siaga bagi memastikan perjalanan acara berlangsung dengan teratur.
Beliau turut berharap orang ramai memberikan kerjasama dengan menjaga ketenteraman serta mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang berada di lokasi sambutan.
“Kita akan dapat sama-sama mempertahankan dan membuktikan bahawa kita boleh meraikan sambutan yang sebegini penting dan besar dalam suasana aman, harmoni dan damai. Insya-Allah, ini budaya Sarawak,” katanya.
Julaihi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Jadi ke-80 kepada Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Selamat Hari Jadi, Dirgahayu Tun Yang di-Pertua Sarawak,” katanya.




