Lorong Jalan Tun Jugah ditutup tiga bulan bagi kerja pembinaan KUTS

Facebook
WhatsApp
ANTARA laluan di Jalan Tun Jugah yang ditutup bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS). Foto Sarawak Metro

KUCHING, 7 Oktober: Beberapa lorong di Jalan Tun Jugah akan ditutup secara berperingkat selama kira-kira tiga bulan mulai 11.00 malam ini bagi memberi laluan kepada kerja pembinaan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Sarawak Metro Sdn Bhd dalam kenyataan hari ini berkata penutupan lorong berkenaan diperlukan bagi membolehkan mobilisasi serta operasi mesin cerucuk gerudi dan jentera berat di tapak pembinaan.

Kerja cerucuk itu merupakan sebahagian daripada pembinaan tiang bagi jajaran Transit Aliran Autonomi (ART) bertingkat, selain kerja berkaitan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, jajaran ART bertingkat itu akan menghubungkan stesen ART di sepanjang Jalan Tun Jugah, iaitu Stesen Tun Jugah (SR08) dan Stesen Upland (SR09), sebagai sebahagian daripada Laluan Merah KUTS.

Penutupan separa akan dilaksanakan di beberapa bahagian Jalan Tun Jugah berhampiran kawasan pembinaan, khususnya di sekitar Jejambat Tun Jugah.

“Laluan susur dari Jalan Tun Jugah menuju Jalan Laksamana Cheng Ho serta laluan susur dari Jalan Laksamana Cheng Ho menuju Jalan Tun Jugah akan dikecilkan kepada satu lorong.

ILUSTRASI laluan Transit Aliran Autonomi (ART) yang menghubungkan Stesen Tun Jugah (SR08) dan Stesen Upland (SR09).

“Pelan pengurusan trafik yang dilaksanakan selama kira-kira tiga bulan itu turut membabitkan penutupan satu lorong di persimpangan lampu isyarat Jalan Song, sebelum kenderaan membelok ke kanan menuju Jalan Tun Jugah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya satu lorong akan kekal dibuka kepada lalu lintas di kawasan terjejas, manakala kenderaan dari Jalan Song dan Jalan Laksamana Cheng Ho masih boleh mengakses Jalan Tun Jugah untuk menuju ke pusat bandar.

Sarawak Metro mengingatkan pengguna jalan raya supaya menjangkakan aliran trafik yang lebih perlahan dan kemungkinan berlaku kesesakan, khususnya pada waktu puncak berikutan pengurangan bilangan lorong yang tersedia.

Pengguna jalan raya turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal, mematuhi papan tanda trafik serta menggunakan laluan alternatif jika boleh, terutama pada waktu puncak.

Sarawak Metro berkata pihaknya akan memantau keadaan trafik dan aktiviti pembinaan bagi meminimumkan gangguan kepada pengguna jalan raya serta mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perubahan terhadap lencongan, penutupan lorong atau langkah pengurusan trafik.

Orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut boleh menghubungi talian KUTS di 1300-88-5887, dari Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali cuti umum.