Libat urus RUU warga emas diperluas pastikan kebajikan terjamin – Nancy

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Sesi libat urus bagi penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan perlindungan warga emas diperluaskan di seluruh negara untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak bagi memastikan kebajikan golongan itu terjamin serta dilindungi daripada pengabaian, penderaan dan eksploitasi.  

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata proses konsultasi tersebut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat di peringkat akar umbi.

Bagaimanapun, beliau berkata kementerian sedang dalam fasa akhir penggubalan RUU itu dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan.

“Suara rakyat di peringkat akar umbi turut dirundingi menerusi pelaksanaan tinjauan awam bagi memastikan RUU ini mencerminkan keperluan sebenar masyarakat. 

“Proses libat urus mengambil masa kerana terdapat banyak permohonan untuk sesi konsultasi, termasuk daripada pihak yang ingin mengemukakan pandangan sekali lagi. Kami juga perlu mengadakan sesi libat urus di setiap negeri,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) mengenai status terkini RUU berkenaan serta bentuk mekanisme perlindungan sosial komprehensif bagi membela kebajikan golongan terbabit susulan peningkatan demografi negara ke arah status negara penuaan.

Nancy menjelaskan perlindungan kebajikan warga emas tidak terhenti sementara menunggu RUU berkenaan dimuktamadkan, sebaliknya hak dan keselamatan golongan itu terus dilindungi menerusi peruntukan perundangan serta mekanisme sedia ada.

Dalam pada itu, beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut menyediakan pelbagai bentuk sokongan sosial kepada warga emas termasuk Bantuan Warga Emas sebanyak RM600 sebulan kepada mereka yang layak.

“Selain itu, kita mempunyai 234 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) setakat tahun ini yang menggalakkan penuaan aktif dan mempunyai lebih 50,000 ahli, selain Program Khidmat Bantu Di Rumah (KBDR) yang membantu lebih 9,000 warga emas menerusi khidmat lebih 2,000 sukarelawan terlatih,” katanya.

Nancy berkata kerajaan turut memperkukuh ekosistem penjagaan warga emas menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan Malaysia 2026-2030, termasuk latihan serta peningkatan kompetensi penjaga.

Katanya, KPWKM kini menyasarkan 50,000 penjaga warga emas dilatih menjelang 2030, berbanding hampir 3,000 yang telah dilatih setakat ini.

“Untuk tahun ini kita menyasarkan latihan kepada 2,000 penjaga, dan sekarang ini kita hampir ada 3,000 sudah dilatih. Kita menyasarkan untuk tahun 2030 kita ada 50,000 caregiver ini,” katanya.- Bernama