Kadar antara bank jangka pendek diunjur kekal stabil susulan operasi BNM

Facebook
WhatsApp

KUALA LUMPUR, 7 Oktober: Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil hari ini disokong oleh operasi Bank Negara Malaysia (BNM) bagi menyerap lebihan mudah tunai dalam sistem kewangan.

Mudah tunai dalam sistem perbankan dianggarkan sebanyak RM50.12 bilion dalam pasaran konvensional dan RM29.98 bilion dalam pasaran wang Islam. 

BNM akan menjalankan tender repo berbalik bernilai RM3.5 bilion untuk tujuh hari dan tender repo berbalik bernilai RM500 juta untuk 92 hari.

BNM turut mengumumkan ketersediaan kemudahan repo berbalik, perjanjian jual dan beli balik serta kemudahan Murabahah Komoditi Bercagar dengan tempoh satu minggu, satu bulan dan tiga bulan.

Pada 4.00 petang, BNM akan menjalankan tender semalaman konvensional sehingga RM54.1 bilion dan tender semalaman Murabahah sehingga RM30.0 bilion.- Bernama