KUALA LUMPUR: Pavilion Malaysia bagi Ekspo 2020 Dubai pada Ahad mengumumkan PETRONAS sebagai rakan kongsi utamanya untuk Ekspo Dunia itu, yang akan berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.
Dalam kenyataan, Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) menjelaskan dengan aspirasi untuk menjadi rakan bersama tenaga dan penyelesaian progresif, penyertaan syarikat minyak dan gas nasional ini adalah selari dengan tema ‘Memperkasa Kemampanan’ yang dibawa Pavilion Malaysia di ekspo ini.
Memandangkan perubahan iklim menjadi antara isu utama bagi komuniti global, Ekspo 2020 Dubai adalah platform yang unik bagi PETRONAS untuk mempamerkan aspirasi kemampanan dan hala tujunya ke arah mencapai Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050, menurutnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kerjasama dengan Pavilion Malaysia memberikan peluang untuk pihaknya mempamerkan komitmen Petronas dalam pendekatan holistik terhadap kelestarian.
“Kami mendokong usaha untuk mengorak laluan yang lebih mampan menuju ke hadapan, dan memacu kematangan amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami serta merealisasikan aspirasi Pelepasan Karbon Sifar Bersih kami menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Ekspo Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu yang mengangkat tema ‘Connecting Minds, Creating the Future’ itu akan disertai oleh 192 negara dan organisasi.
Acara mega yang diadakan setiap lima tahun ini bertujuan menggalakkan kerjasama global, inovasi, pembangunan teknologi, kemajuan dan pendidikan manusia, selain buat julung kalinya akan diadakan di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Selatan.
Penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan MGTC sebagai agensi pelaksana.
Menurut MGTC, Petronas akan mengambil bahagian dalam beberapa perbincangan panel dan mesyuarat perniagaan dengan individu terkemuka luar negara serta pemimpin perniagaan antarabangsa di Pavilion Malaysia, selain menyertai forum-forum kepimpinan pemikiran.
Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, pencapaian PETRONAS selama ini dan komitmennya untuk membantu membentuk tindakan iklim melangkaui bidang pengaruhnya akan meningkatkan lagi kewibawaan negara dalam bidang kemampanan.
“Di samping menyediakan ruang kepada syarikat untuk turut serta dalam perbincangan mengenai isu-isu, kami juga mempunyai matlamat untuk meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan mampan dan bersedia untuk masa depan, serta komited untuk menambah baik cara kita menjalankan perniagaan,” katanya.- Bernama