KUCHING, 6 Oktober: BorneoCraft Global (BCG) 2.0 bakal kembali berlangsung pada 25 hingga 29 November ini di Tebingan Kuching dengan sasaran menarik seramai 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.
Bertemakan ‘Crafting Tradition and Innovation’, program berkenaan dijangka menghimpunkan 200 usahawan kraf termasuk 30 dari luar negara, 30 dari negeri lain di Malaysia dan 140 dari Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BCG 2.0, Datuk Snowdan Lawan berkata, penganjuran kali ini turut melibatkan penyertaan 25 penceramah antarabangsa dalam Simposium Antarabangsa pada 25 dan 26 November.

Menurutnya, simposium berkenaan merangkumi sembilan sesi yang mengetengahkan pelbagai aspek termasuk warisan, teknik kraf, pasaran, pendidikan dan pelancongan.
“Kami menjangkakan seramai 30,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran. Seramai 25 penceramah antarabangsa akan menyertai Simposium Antarabangsa pada 25 dan 26 November.
“Mereka akan membentangkan sembilan sesi bertemakan pelbagai aspek, daripada warisan dan teknik kraf kepada pasaran, pendidikan dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media BorneoCraft Global 2.0 di sini, hari ini.
Snowdan berkata, BCG 2.0 menjadi platform kepada penggiat kraf untuk memperoleh pendedahan, menambah pengetahuan serta memperluaskan akses pasaran, di samping memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor pelancongan dan industri kreatif.
“BCG 2.0 memberikan apa yang paling diperlukan oleh penggiat kraf kita, iaitu pendedahan, pengetahuan dan akses kepada pasaran. Ia juga memperkukuh kedudukan Sarawak dalam peta pelancongan dan industri kreatif dunia,” katanya.
Sepanjang program itu, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi pembuatan kraf secara langsung, menyertai kelas master bersama artis antarabangsa serta menikmati persembahan kebudayaan dan muzik setiap hari di pentas utama.
Selain itu, Premium Sarawak Pavilion akan mengetengahkan kepelbagaian hasil kraf tempatan antaranya pua kumbu, songket, keringkam, hasil manik, anyaman bakul dan seramik.
BCG 2.0 turut dimeriahkan dengan Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Kraf Antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada 27 November.




