TYT terima kunjungan hormat Jawatankuasa Sambutan Hari Lahir Rasmi

Facebook
WhatsApp
YANG di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 Tahun 2026 di Astana Negeri, Kuching, hari ini. Foto Astana Sarawak

PETRA JAYA, 6 Oktober: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-80 Tahun 2026 di Astana Negeri, pagi ini.

Delegasi diketuai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi selaku Menteri Bertanggungjawab.

Kunjungan itu bertujuan menyampaikan warkah persilaan rasmi kepada TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan, selain memberi taklimat berhubung pelbagai acara sambutan yang dijadualkan berlangsung dari 8 hingga 11 Oktober ini.

Antara acara utama yang dijadualkan ialah Majlis Kesyukuran di Masjid Jamek Kuching, Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain di Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Jalan Ong Tiang Swee dan Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa di Padang Merdeka.

Turut dijadualkan ialah Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak di Dewan Istiadat, Astana Negeri Sarawak, Majlis Jamuan Negeri di Dewan Undangan Negeri Sarawak serta Majlis Jamuan Teh di Hotel Pullman Kuching.

TYT Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Induk serta semua pihak yang terlibat atas usaha, komitmen dan persiapan bagi memastikan sambutan berkenaan berlangsung lancar.

TYT Tun Pehin Sri turut mendoakan agar semua majlis yang dirancang berjalan lancar, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.