Kursus Pasca Perkahwinan JWKS perkukuh institusi keluarga harmoni

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri ketika menghadiri jemputan Majlis Penangguhan Kursus Pasca Perkahwinan anjuran JWKS di Dewan Masyarakat Pejabat Daerah Kecil Roban, kelmarin. Foto: ADUN Kalaka

ROBAN, 6 Oktober: Kursus Pasca Perkahwinan yang dianjurkan Jabatan Wanita dan Keluarga (JWKS) menjadi platform penting bagi memperkukuh ilmu, kemahiran serta komitmen pasangan dalam membina institusi keluarga yang lebih harmoni dan berdaya tahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program yang berlangsung selama sehari itu disusun dengan pelbagai pengisian menarik yang memberi penekanan kepada aspek hubungan, pengurusan emosi serta konflik dalam kehidupan berumah tangga.

Menurutnya, antara topik yang diketengahkan ialah ‘Memahami Aku, Keakuan dan Milikku (Me & Mine)’ pada slot pertama, diikuti ‘Memanfaatkan Tingkat Ego (Nucleus of Ego)’ serta slot ketiga bertajuk ‘Mengurus Konflik Pasangan’.

MOHAMAD Duri menerima cenderahati daripada pihak penganjur. Foto: ADUN Kalaka

“Pengisian seperti ini memberi ruang kepada pasangan untuk memahami diri sendiri dan pasangan dengan lebih baik, di samping mempelajari pendekatan yang sesuai dalam menangani cabaran kehidupan berumah tangga.

“Kursus ini juga memberi peluang kepada pasangan untuk menambah ilmu, memperbaharui komitmen serta menyuburkan kembali nilai kasih sayang, persefahaman dan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri jemputan Majlis Penangguhan Kursus Pasca Perkahwinan anjuran JWKS di Dewan Masyarakat Pejabat Daerah Kecil Roban, kelmarin.

Mohamad Duri berkata, kursus berkenaan turut menekankan kepentingan konsep mawaddah wa rahmah sebagai asas dalam membina keluarga yang bahagia, sekali gus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang sejahtera.

Katanya, antara objektif utama penganjuran program adalah mengukuhkan serta mengeratkan ikatan antara suami dan isteri, selain memperkasakan institusi keluarga dan memupuk keharmonian serta kesejahteraan rumah tangga.

“Dalam menghadapi tuntutan kehidupan moden yang semakin kompleks, pasangan perlu sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran supaya hubungan perkahwinan dapat dipelihara dengan baik,” katanya.

Beliau menambah, usaha memperkukuh institusi keluarga perlu dilaksanakan secara berterusan kerana keluarga yang kukuh menjadi antara asas penting kepada kesejahteraan masyarakat.

Turut hadir pada majlis penangguhan itu ialah Ahli Dewan Negara, Senator Pele Peter Tinggom; Timbalan Residen Bahagian Betong, Mohammad Nizam Wang; Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Roban, Steve Miller Nuas serta ketua-ketua masyarakat.

Oleh Adi Safarman