SAMARAHAN: Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang menyegerakan bantuan bekalan makanan kepada 41 buah keluarga anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan yang menjalani kuarantin, baru-baru ini.
Rubiah Wang menerusi satu kenyataan menzahirkan ucapan terima kasih atas pengorbanan yang dilakukan semasa pandemik Covid-19 melanda.
“Saya berharap mereka tabah dalam menghadapi dugaan berkenaan dan semoga mereka diberikan kesembuhan segera daripada Covid-19.
“Terima kasih kepada semua anggota bomba dari BBP Kota Samarahan kerana sepanjang tempoh negara dilanda pandemik Covid-19 mereka telah bertungkus-lumus dalam membantu kerajaan serta masyarakat dalam mendepani wabak berkenaan khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dalam satu-satu kawasan di daerah Samarahan,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 41 pegawai dan anggota bomba dari BBP Kota Samarahan menjalani kuarantin setelah terdapat beberapa kes positif Covid-19 dilaporkan dalam melibatkan warga balai berkenaan.
Oleh RYNNA SHA’ERRA