Perbezaan politik tidak harus jadi punca permusuhan

Facebook
WhatsApp
AHLI Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shein bergambar bersama yang lain di Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Julin, Sungai Sebirah. Foto Pusat Khidmat Parlimen Julau

JULAU, 6 Oktober: Perbezaan politik tidak seharusnya menjadi punca permusuhan atau perbalahan, sebaliknya semua pihak perlu kembali bekerjasama selepas pilihan raya demi kepentingan rakyat dan pembangunan, kata Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien.

Beliau berkata, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa dalam politik kerana ia menjadi ruang untuk setiap pihak menyuarakan pandangan serta memperjuangkan perkara yang diyakini terbaik untuk masyarakat.

“Dalam politik, kadangkala kita mempunyai perbezaan pendapat.

“Bagaimanapun, perbezaan itu tidak bermakna kita perlu bermusuhan atau berbalah antara satu sama lain, tetapi ia adalah sebahagian daripada proses untuk kita menyuarakan pandangan dan memperjuangkan apa yang kita percaya terbaik untuk membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Julin, Sungai Sebirah, baru-baru ini.

Menurutnya, selepas proses pilihan raya berakhir, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan kembali memberi tumpuan kepada tanggungjawab masing-masing terhadap rakyat.

Katanya, kerjasama antara semua pihak penting bagi memastikan usaha pembangunan wilayah dan negeri dapat diteruskan demi memberi manfaat kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Larry turut memohon maaf sekiranya sepanjang perjalanan politiknya sebelum ini terdapat kata-kata atau tindakan yang mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Jika sepanjang kepimpinan saya sebelum ini ada kata-kata atau tindakan yang mengguris perasaan mana-mana pihak, saya memohon maaf dengan ikhlas,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmennya untuk membantu masyarakat tidak terbatas kepada latar belakang mahupun perbezaan politik.

“Selagi saya boleh membantu, saya akan cuba membantu tanpa mengira latar belakang atau perbezaan politik,” katanya lagi.

Larry berkata, masyarakat perlu kembali bersatu dan bekerjasama bagi mewujudkan masa depan yang lebih baik, dengan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Kita mungkin berbeza dalam politik, tetapi kita masih mempunyai tanggungjawab yang sama untuk membangunkan masyarakat dan memastikan kebajikan rakyat terus dilindungi,” ujarnya.

Beliau berharap semangat kerjasama dapat terus diperkukuh dengan mengetepikan perbezaan yang boleh menghalang usaha membawa pembangunan dan manfaat kepada masyarakat.

Oleh Earl Anek