MIRI, 6 Oktober: Sebuah rumah kosong dua tingkat musnah terbakar dalam kejadian di Pujut 8, Lorong 8A, di sini, malami tadi.
Dalam kejadian sekitar 11.44 malam, tiada mangsa dilaporkan berada di dalam rumah berkenaan ketika kebakaran berlaku.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jambatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba pada 11.57 malam dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kosong tanpa penghuni berstruktur kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 30 kaki x 30 kaki.
“Kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur rumah,” menurut kenyataan itu.
Pasukan bomba menggunakan satu aliran salur sepanjang 300 kaki dengan dua nozel serta satu aliran salur bantu mula bagi memadam kebakaran.
Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.13 tengah malam sebelum dipadamkan sepenuhnya.
Operasi tamat pada pukul 1.09 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi punca api dan lokasi berada dalam keadaan selamat.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling





