KKM dicadang beri insentif bermaruah kepada pegawai perubatan berkhidmat di Sabah, Sarawak

Facebook
WhatsApp
Pegawai perubatan sedang bertugas di hospital. Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 5 Oktober: Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) menyemak semula serta mempertimbangkan pemberian skim atau insentif bermaruah kepada pegawai perubatan yang dihantar bertugas di Sabah dan Sarawak.

Ahli jawatankuasa berkenaan Young Syefura Othman berkata langkah itu perlu dilakukan susulan kebimbangan mengenai isu ketidakhadiran pegawai perubatan yang sepatutnya mendaftarkan diri bertugas di dua negeri berkenaan.

“Kami bimbang, kerana ketidakhadiran pegawai perubatan ini melaporkan diri, dalam erti kata lain bermakna mereka tidak berminat untuk berkhidmat di Sabah dan Sarawak, dan lebih membimbangkan ada hospital (di Sabah dan Sarawak) yang beroperasi dengan hanya tiga pegawai perubatan.

“Pastinya, soal elaun dan insentif tetap menjadi antara faktor mengapa perkara ini terjadi. Justeru, jawatankuasa berharap KKM mempertimbangkan cadangan ini,” katanya.

Ahli Parlimen Bentong itu berkata demikian ketika menggulung perbahasan penyata jawatankuasa itu berkaitan Lawatan Kerja Jawatankuasa Pilihan Kesihatan ke Sabah: Pengukuhan Penyampaian Perkhidmatan dan Fasiliti Kesihatan di Dewan Rakyat hari ini. 

Young Syefura berkata jawatankuasa turut mencadangkan perkhidmatan bergerak dilaksanakan oleh rangkaian hospital, klinik kesihatan serta klinik pergigian bagi memastikan ia mudah diakses oleh rakyat.

“Sabah mempunyai keadaan geografi, taburan penduduk dan corak keperluan perkhidmatan yang tersendiri. Oleh itu, perancangan kesihatan perlu berpandukan keadaan sebenar di lapangan dan keperluan setiap kawasan, bukan hanya pendekatan yang seragam,” katanya.

Young Syefura ketika mengulas mengenai isu kelewatan projek naik taraf Hospital Papar berkata jawatankuasa menegaskan kepentingan kawalan pelanjutan masa (EOT), tindakan terhadap kontraktor bermasalah dan penilaian rekod prestasi sebagai sebahagian tadbir urus projek bagi memastikan projek itu dapat disiapkan.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa berkenaan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai), pada sesi penerangan berkata projek naik taraf Hospital Papar telah menerima 11 EOT dengan keseluruhan 2,108 hari manakala kontrak kontraktor asal telah ditamatkan dan pelantikan kontraktor penyiap akan dilaksanakan melalui tender baharu.

Pada sesi sama, Suhaizan turut mengemukakan 12 syor jawatankuasa itu bagi meningkatkan keupayaan sistem kesihatan di Sabah merangkumi empat aspek utama, iaitu fasiliti, infrastruktur dan operasi; sumber manusia dan tenaga kepakaran; pencegahan, akses dan pendigitalan serta keutamaan pembangunan dan projek strategik.

Antara syor berkenaan termasuk memberi keutamaan kepada pembaikan, naik taraf, penyelenggaraan serta penggantian aset dan peralatan kesihatan yang kritikal; pengisian dan pengagihan sumber manusia serta pembangunan dan pengekalan tenaga kepakaran, selain penambahan kapasiti fasiliti kesihatan primer.

“Cabaran penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sabah tidak boleh ditangani melalui perancangan semata-mata, ia perlu diterjemahkan kepada projek yang siap, jawatan yang diisi, aset yang boleh digunakan dan perkhidmatan yang benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya. – Bernama