SIMANGGANG, 5 Oktober: Polis meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian kemalangan maut langgar lari di KM45, Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Kuching, yang berlaku semalam, tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian berkenaan, seorang wanita warga emas berusia 62 tahun dilaporkan maut selepas dipercayai dilanggar sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti ketika sedang melintas jalan di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Supritenden Dennis Bunyam berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan yang masih belum dikenal pasti.
“Akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pihak polis kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti jenis kenderaan serta pemandu yang terlibat,” katanya menerusi kenyataan media.
Sehubungan itu, polis memohon mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bagi membantu siasatan.
Saksi juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Sub Inspektor Ariffin Sabang, di talian 083-322121 sambungan 238 untuk menyalurkan maklumat.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada ketika berada di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman





