SMA lancar Strategi dan Pelan Hala Tuju Keselamatan Siber Sarawak 2030

Facebook
WhatsApp
PELANCARAN SCSR 2030 disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sempena IDECS 2026 di BCCK, Kuching.

KUCHING, 5 Oktober: Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) hari ini melancarkan Strategi dan Pelan Hala Tuju Keselamatan Siber Sarawak (SCSR) 2030, strategi keselamatan siber pertama Sarawak yang meliputi seluruh negeri.

Pelancaran SCSR 2030 disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

SMA dalam kenyataannya berkata strategi itu memberi hala tuju bagi memperkukuh keselamatan dan daya tahan ekosistem digital Sarawak yang semakin berkembang.

“Keselamatan siber penting bagi menyokong perkhidmatan digital, inovasi dan pelaburan selain mengekalkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan digital.

“Keselamatan siber merupakan tanggungjawab bersama dan bukan hanya agensi kerajaan.

“Pelaksanaan SCSR 2030 akan membantu meningkatkan keyakinan awam terhadap perkhidmatan digital serta kesiapsiagaan keselamatan siber Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, SCSR 2030 merupakan pelan hala tuju lima tahun yang mengandungi 18 inisiatif strategik di bawah lima teras utama.

Lima teras berkenaan ialah mengukuhkan keselamatan aset maklumat strategik Sarawak, melindungi orang ramai, perniagaan dan komuniti, pembangunan bakat dan peningkatan keupayaan, pengukuhan tadbir urus serta rangka kerja operasi dan kerjasama strategik.

SCSR 2030 menggabungkan kerajaan, syarikat milik kerajaan negeri, pengendali infrastruktur kritikal, sektor perniagaan, akademia dan komuniti dalam satu hala tuju keselamatan siber seluruh Sarawak.

Turut hadir pada majlis pelancaran ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pengurus Besar SMA, Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng.

Oleh Masrin Affirah