SIBU, 5 Oktober: Kerjasama erat antara pemimpin, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk perlu terus diperkukuh bagi memastikan lebih banyak pembangunan dan manfaat dapat dibawa kepada masyarakat di kawasan Bawang Assan.
Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau berkata, program seperti Pemimpin Bersama Rakyat merupakan medan yang memberi ruang kepada pemimpin mendengar sendiri permasalahan penduduk di peringkat akar umbi.
“Setiap program Pemimpin Bersama Rakyat adalah satu majlis yang amat bermakna kerana inilah masa kita berkumpul, bukan sahaja secara santai tetapi yang penting untuk mengeratkan hubungan, berbincang mengenai isu atau masalah yang dihadapi dan bersama-sama mencari penyelesaian,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Melissa Gendu, Sungai Aup, Batang Igan, semalam.
Lau berkata, KMKK memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dengan kerajaan kerana kedudukan mereka yang paling hampir dengan komuniti.
Katanya, kerjasama itu perlu melibatkan semua KMKK tanpa mengira latar belakang kaum termasuk masyarakat Iban, Cina dan Melayu bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat diperkasakan.
“Sebagai ahli majlis, saya sentiasa berkata bahawa kita hendaklah bekerjasama dengan erat bersama KMKK. Mereka paling dekat dengan komuniti dan bersama-samalah kita menyampaikan perkhidmatan serta mencari penyelesaian kepada segala cabaran yang dihadapi penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Lau berkata semangat perpaduan perlu terus menjadi asas dalam usaha membawa Bawang Assan dan Sibu ke arah pembangunan yang lebih maju dan makmur.
“Setiap kali saya sampai ke ruai rumah panjang, saya selalu mengatakan ruai adalah lambang perpaduan yang sangat kita banggakan.
“Ketika perayaan, semua orang kembali ke sini dan di ruai yang sama tetamu disambut dengan begitu baik. Semangat ini harus kita pegang bersama-sama,” katanya.
Lau turut menyentuh usaha meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan di Sarawak termasuk pembangunan Pusat Kanser Sarawak di Kuching serta peningkatan kemudahan perubatan di Hospital Sibu.
Katanya, Hospital Sibu bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada penduduk setempat, malah turut menerima pesakit dari kawasan zon tengah Sarawak termasuk Kapit, Mukah dan Sarikei.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan MRI di Hospital Sibu hasil kerjasama kerajaan Sarawak, Yayasan Jantung Sarawak dan Kementerian Kesihatan (KKM) turut membantu pesakit mendapatkan rawatan berkaitan jantung tanpa perlu ke Kuching.
Sementara itu, Lau berkata pembangunan di Bawang Assan juga memerlukan kerjasama berterusan antara pemimpin dan masyarakat, dengan beberapa projek menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah dilaksanakan termasuk penyediaan tempat letak kereta di Rumah Francis di kawasan Aup.
“Saya harap pada masa akan datang, jika saya diberi amanah yang lebih besar oleh Premier Sarawak, kita boleh buat lebih banyak lagi untuk kawasan Bukit Aup.
“Apa yang saya hendak lihat ialah kawasan-kawasan Bawang Assan dapat dibangunkan supaya menjadi sebahagian daripada pembangunan Sibu. Itu adalah niat kita dan kita ikhlas ingin bekerjasama dengan semua pihak, tuai rumah dan masyarakat supaya matlamat ini dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan berterusan bukan sahaja bertujuan meningkatkan taraf kehidupan penduduk, malah memperkukuhkan perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama.
Oleh Tarani Lanting



