SIMANGGANG: Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga telah melakukan kelainan baharu dalam menyumbang sumbangan makanan kepada para petugas barisan hadapan di Sri Aman.
Jika selama biskut, air mineral dan makanan tengahari disumbang untuk para petugas barisan hadapan maka kali ini pihak berkenaan telah pun tampil menyampaikan sumbangan baharu iaitu Bubur Asyura.
Baru-baru ini Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN N28 Lingga telah bertindak menyumbang sejumlah 250 kontena Bubur Asyura untuk para petugas barisan hadapan di Hospital Bahagian Sri Aman.
Kesemua kontena juadah berkenaan telah disampaikan oleh pihak Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN N28 Lingga kepada wakil Pengarah Hospital Sri Aman iaitu Osman Midan melalui upacara ringkas yang berlangsung di perkarangan luar hospital tersebut.
ADUN Lingga, Simoi Peri menerusi kenyataan memberitahu pihaknya juga turut bertindak menyumbang Bubur Asyura kepada para petugas barisan hadapan di tiga lokasi berbeza dalam bandar ini.
Kata beliau tiga lokasi berkenaan adalah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Sri Aman, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) Stadium Tertutup dan PKRC Dewan Masyarakat Taman Harmoni di sini.
“Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN N28 Lingga sentiasa menghargai pengorbanan para petugas barisan hadapan yang berjuang mengekang penularan pandemik Covid-19 di sini demi kebaikan semua rakyat.
“Justeru dengan adanya sumbangan ini maka kita berharap agar para petugas barisan hadapan di sini terus tabah melaksanakan tugas demi membantu negara melindungi rakyat daripada dijangkiti virus pandemik berbahaya berkenaan,” kata Simoi.
Oleh VALENTINE NGUMBANG