PETRA JAYA, 5 Oktober: Pertubuhan Teater Sanggar Kreatif Kuching dinobatkan sebagai Johan Festival Teater Malaysia (FTM) 2026 Zon Sarawak menerusi pementasan ‘Sumpah Darah Meranti’ pada malam kemuncak festival di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, malam tadi.
Kemenangan itu membolehkan kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta piala dan sijil, selain membawa karya tersebut mewakili Sarawak ke FTM peringkat kebangsaan yang dijangka berlangsung tahun depan.
Lebih manis, ‘Sumpah Darah Meranti’ turut meraih lima anugerah khas, masing-masing Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dan Skrip Terbaik.

Wayne Lee SC dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik, manakala Mustaghfirin Fathullah Basri menerima Pelakon Lelaki Terbaik.
Shahrul Al-Aziza Bakri dan Tini Tyrani Adurahman pula masing-masing meraih Pelakon Pembantu Lelaki dan Pelakon Pembantu Wanita terbaik.
Naib Johan disandang Persatuan Seni Kreatif SIFAR Kuching yang menerima RM7,000, manakala Seniwara Arka dari Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM5,000. Kedua-duanya turut menerima piala dan sijil.
Empat kumpulan lain, iaitu Anak Seni Warisan Kenyalang, i-CATS Thespian Arts, Mahkota Borneo dan Sanggar Silara, masing-masing menerima hadiah saguhati RM3,000 berserta piala dan sijil.

FTM 2026 Zon Sarawak yang berlangsung dari 28 September hingga 4 Oktober bertemakan ‘Naratif Sungai, Hutan dan Manusia’, menghimpunkan tujuh pementasan yang mengangkat kisah, identiti, warisan, masyarakat dan alam sekitar Sarawak.
Selain ‘Sumpah Darah Meranti’, enam pementasan lain ialah ‘Gema Rajang’, ‘Sungai Mengalir Lesu’, ‘Derau’, ‘Saksi Bisu’, ‘Aruna’ dan ‘Suara Rimba’.
Dalam anugerah khas lain, Rumy Amira Rosdi daripada Persatuan Seni Kreatif SIFAR Kuching memenangi Pelakon Wanita Terbaik, Hector Hezekiel Ace daripada Seniwara Arka menerima Pelakon Harapan Lelaki, manakala Angelina Marcel daripada i-CATS Thespian Arts meraih Pelakon Harapan Wanita.

‘Derau’ memenangi Sinografi Terbaik, manakala ‘Suara Rimba’ menerima Anugerah Khas Juri.
Majlis perasmian penutupan festival disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Radzi Omar yang mewakili Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.
FTM 2026 Zon Sarawak dianjurkan JKKN Sarawak dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), dengan kerjasama Majlis Seni Sarawak di bawah Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan serta Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sebagai penganjur bersama.
Oleh Adele Rissa




