ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Kerajaan Sarawak bertindak dengan sangat cepat dan cekap apabila mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang yang bernilai RM1.15 bilion bagi menangani impak penularan wabak COVID-19.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, ini menunjukkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta barisan Kabinet Negeri amat mengutamakan dan mementingkan rakyat.
“Negeri Sarawak adalah antara negeri terawal di Malaysia dan bertindak cepat dengan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi sebegini dalam insiatif membantu rakyatnya.
“Pakej yang mengandungi 16 inisiatif turut meliputi bantuan kepada barisan hadapan seperti doktor, jururawat, polis, askar dan sebagainya serta untuk rakyat khususnya peniaga kecil yang terjejas akibat penularan Covid-19,” katanya menerusi satu hantaran video beliau dalam ucapan berbahasa Iban di laman sosial Facebooknya, semalam.
Ahli Parlimen Kapit itu menambah, apa yang sangat bagus dalam pakej itu adalah bantuan topeng yang mana Kerajaan Sarawak telah menempah sebanyak dua juta topeng muka untuk diberikan secara percuma kepada semua rakyat Sarawak.
“Saya melihat ia sangat bagus terutamanya dengan negara bahkan seluruh dunia kini berdepan dengan masalah kekurangan topeng muka.
“Maka kerajaan negeri bertindak sangat cepat menggunakan peruntukan sendiri membeli dua juta topeng muka untuk diberikan kepada rakyat negeri yang populasi sekitar 2.8 juta orang dan juga untuk barisan hadapan yang berkhidmat untuk rakyat.
“Dari sini kita melihat betapa cepat dan cekap Kerajaan Sarawak bertindak mendahului negeri-negeri lain di dalam Malaysia, begitu juga seperti bermulanya penyebaran wabak Covid-19 dahulu dengan terlebih dahulu menyekat pintu masuk bagi kemasukan pelawat dari China,” ujarnya.
Menurutnya, rakyat Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai kerajaan yang cepat bertindak dan sentiasa mendahului dalam menyediakan bantuan serta mengambil tindakan yang bijak.
“Sehubungan itu, saya sangat gembira serta mengalu-alukan pengumuman Ketua Menteri itu dalam membantu rakyat Sarawak yang terkesan akibat Covid-19,” tambahnya.
Terdahulu pada Isnin, Abang Johari mengumumkan Pakej Bantuan Sarawakku Sayang Covid-19 memberi tumpuan untuk mengurangkan kesan wabak dan melindungi kesejahteraan rakyat melalui 16 langkah proaktif yang disasarkan kepada kakitangan barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan yang ketika ini memerlukan paling banyak sokongan.
Beliau berkata, daripada RM1.15 bilion itu, sejumlah RM974.75 juta membabitkan perbelanjaan langsung oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan impak kelembapan ekonomi dan mengurangkan beban rakyat.