Pengawal Pantai AS temukan serpihan ambulans udara dilaporkan hilang

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA penyelamat menjalankan operasi mencari menggunakan pesawat dan bot bagi mengesan sebuah ambulans udara yang dalam perjalanan ke Boston sebelum dilaporkan hilang di perairan Nantucket, Massachusetts, pada Sabtu, 3 Oktober. Foto AGENSI

WASHINGTON: Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS) menemukan “kawasan serpihan” selepas sebuah ambulans udara yang membawa enam individu dilaporkan hilang pada Sabtu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pesawat Gulfstream G100 itu terputus hubungan dengan pihak berkuasa ketika dalam penerbangan dari Bermuda ke Boston, menurut Pengawal Pantai.

Pasukan mencari menemukan “kawasan serpihan yang disahkan mempunyai kaitan dengan pesawat hilang itu” di perairan luar pantai Nantucket, menurut agensi berkenaan.

Agensi itu menyatakan operasi pencarian akan diteruskan sepanjang malam.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Kanada Steven MacKinnon berkata empat daripada enam individu dalam penerbangan itu ialah warga Kanada.

“Kami memantau rapat situasi itu dan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan ketika operasi mencari dan menyelamat diteruskan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua petugas kecemasan yang terlibat atas usaha berterusan mereka,” tulisnya di platform X.

Pengawal Pantai memaklumkan dua warga Bermuda turut berada di dalam pesawat itu.

Lapangan Terbang Memorial Nantucket, antara lapangan terbang yang paling hampir dengan lokasi terakhir pesawat itu diketahui berada, memaklumkan pesawat berkenaan dilaporkan telah mengisytiharkan kecemasan sebelum terputus hubungan, namun butiran mengenai keadaan yang membawa kepada insiden itu masih belum dapat disahkan.

Pesawat yang hilang itu didaftarkan atas nama Latitude Air Ambulance, sebuah syarikat pemindahan perubatan dan penghantaran pulang pesakit yang berpangkalan di Kanada.-  Bernama-dpa