PETRA JAYA, 4 Oktober: Selepas dinanti pengguna jalan raya, Jambatan Sejingkat bakal dibuka kepada orang ramai mulai esok, 5 Oktober 2026 pada 10.00 pagi, sekali gus menyediakan laluan alternatif baharu yang menghubungkan kawasan Kuching dan Samarahan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan pembukaan jambatan berkenaan merupakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha kerajaan memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya serta meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan Sejingkat, Tanjung Bako dan kawasan sekitarnya.
Jambatan Sejingkat yang menjadi sebahagian daripada rangkaian jalan alternatif Kuching–Samarahan itu mempunyai panjang keseluruhan kira-kira 1,281.2 meter dan dibina mengikut piawaian JKR R5.
Struktur utama jambatan berkenaan menampilkan reka bentuk kabel berlabuh, merentasi Sungai Sarawak dan bakal menjadi antara mercu tanda kejuruteraan baharu di Sarawak.
Pembukaannya dijangka menyediakan laluan alternatif yang lebih efisien kepada pengguna jalan raya, selain membantu melancarkan pergerakan trafik serta memperkukuh akses ke kawasan pembangunan dan perindustrian di sekitarnya.
Infrastruktur berkenaan turut dijangka memberi manfaat kepada pembangunan sosioekonomi setempat menerusi peningkatan mobiliti penduduk, pergerakan barangan serta akses yang lebih baik antara kawasan terbabit.
Sehubungan itu, JKR Sarawak menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi papan tanda, had laju dan arahan keselamatan yang ditetapkan, khususnya pada peringkat awal pembukaan jambatan.
Pengguna juga diminta memandu dengan berhemah dan memberikan kerjasama bagi memastikan pergerakan trafik di jambatan berkenaan berlangsung dengan selamat serta lancar.



