Ujian DNA jadi harapan mengenal pasti mangsa banjir di Nepal

Facebook
WhatsApp
SEORANG anggota pasukan mencari dan menyelamat bersama anjing pengesan duduk di tebing Sungai Trishuli ketika operasi mencari mangsa yang masih hilang susulan kejadian banjir kilat pada 26 Ogos lalu di daerah Nuwakot, Nepal, pada 30 September 2026. Foto AFP

NUWAKOT, 3 Oktober: Sambil menggenggam sekeping gambar anak lelakinya yang masih hilang, Rajesh Ram menaruh harapan terhadap ujian asid deoksiribonukleik (DNA), seperti ribuan individu lain yang terdesak mencari ahli keluarga mereka yang dihanyutkan banjir besar di kawasan Himalaya, Nepal.

“Saya mencarinya di merata tempat, tetapi tidak menemui jasadnya,” kata Ram, 53, kepada AFP, yang masih menantikan jawapan mengenai nasib anaknya, Suroj Kumar, seorang mekanik bengkel di Betrawati, kawasan yang ditenggelami banjir.

Nepal berdepan kemusnahan besar akibat gelombang air sejuk dan serpihan yang menyerupai tsunami, susulan kejadian runtuhan glasier dan batuan di sempadan Nepal-China pada 26 Ogos lalu.

Usaha mengenal pasti mangsa kini berdepan cabaran besar.

Dengan ribuan profil DNA perlu dianalisis, selain penemuan cebisan jasad serta kekurangan keupayaan teknikal dan tenaga kerja, pakar memberi amaran bahawa proses memadankan jasad dengan ahli keluarga mungkin mengambil masa beberapa minggu.

GAMBAR fail menunjukkan seorang penganalisis forensik menjalankan ujian DNA bagi membantu mengenal pasti mangsa banjir kilat yang masih hilang di Makmal Sains Forensik Kebangsaan di Lalitpur pada 19 September 2026. Foto AFP

Pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal sudah menemukan 1,454 jasad, namun kira-kira satu pertiga daripadanya hanya terdiri daripada cebisan anggota badan.

Setakat ini, hanya 112 jasad berjaya dikenal pasti dan diserahkan kepada keluarga masing-masing, manakala 5,285 individu masih dilaporkan hilang di Nepal, termasuk ratusan warga asing.

Di China, angka korban mencecah 43 orang, manakala 519 lagi masih hilang, menurut media kerajaan. Ini menjadikan jumlah keseluruhan korban di kedua-dua negara hampir 1,500 orang, manakala kira-kira 5,800 lagi masih hilang.

Di dua makmal forensik Nepal yang terletak di Kathmandu, pakar kini berusaha menganalisis sampel dan membangunkan pangkalan data pada skala yang belum pernah dikendalikan sebelum ini.

“Dalam tempoh setahun, kami biasanya menganalisis antara 1,000 hingga 1,500 sampel, kebanyakannya berkaitan kes penentuan bapa atau tempat kejadian jenayah. Kini, kami sedang memproses ribuan sampel,” kata Ketua Pegawai Saintifik Makmal Sains Forensik Kebangsaan, Mukul Pradhan.

Penderitaan

Sebanyak 3,685 sampel forensik sedang menjalani ujian DNA, termasuk lebih 1,300 sampel yang dikumpulkan daripada jasad yang ditemukan.

Sampel darah lebih mudah dianalisis, manakala sampel daripada gigi atau tulang mungkin mengambil masa beberapa hari untuk diproses.

ORANG ramai mencari barangan mereka di dalam kedai yang rosak dan dipenuhi lumpur susulan kejadian banjir kilat pada 26 Ogos lalu di Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal, pada 25 September 2026. Foto AFP

Nepal sudah mengebumikan lebih 1,200 jasad dengan setiap satu diberikan nombor dan tanda pengenalan bagi membolehkan jasad berkenaan dikeluarkan semula sekiranya padanan DNA ditemukan.

“Sebilangan besar individu masih hilang, manakala jasad yang ditemukan pula sukar dikenal pasti. Kami memahami penderitaan yang dialami keluarga dan pasukan kami sedang berusaha bersungguh-sungguh,” kata jurucakap polis Nepal, Abi Narayan Kafle.

Ketua Bahagian Biologi di Makmal Sains Forensik Kebangsaan, Nirajan Thapa, berkata sebahagian jasad dihanyutkan jauh ke hilir sungai oleh arus banjir, sekali gus menyukarkan proses pengenalpastian.

“Dalam kejadian gempa bumi atau kemalangan, mangsa biasanya ditemukan di kawasan tertentu. Oleh itu, kami menjalankan analisis dalam skop yang terhad kerana DNA jasad hanya perlu dibandingkan dengan sejumlah kecil sampel. Namun, skala usaha kali ini jauh lebih besar,” katanya.

Profil DNA sahaja tidak mencukupi untuk mengenal pasti sesuatu jasad tanpa sampel rujukan daripada ahli keluarga.

“Profil DNA yang diperoleh sahaja tidak mencukupi untuk mengenal pasti seseorang. Kami perlu mendapatkan profil DNA daripada ahli keluarga mereka sebelum membuat perbandingan,” katanya.

Ini bermakna pihak berkuasa perlu memproses sampel daripada jasad yang belum dikenal pasti serta ribuan ahli keluarga sebelum padanan dapat dibuat.

Beberapa negara, termasuk negara jiran India dan China serta Korea Selatan, sudah menghantar pasukan bantuan. Pakar cap jari dari Amerika Syarikat dan Singapura turut membantu operasi berkenaan.

Thapa berkata, dengan bantuan itu, proses pemadanan DNA dijangka dapat dimulakan dalam tempoh beberapa minggu.

Namun, sementara menunggu keputusan ujian, keluarga yang terlibat terpaksa melalui tempoh penuh penderitaan tanpa kepastian. Sesetengah keluarga malah mengadakan upacara pembakaran mayat secara simbolik bagi ahli keluarga yang masih hilang.

Ram masih tertanya-tanya sama ada dia akan mendapat jawapan mengenai nasib anaknya.

“Saya masih menunggu, dengan harapan dapat menemukan apa-apa sahaja sisa jasad anak saya,” katanya. – AFP