PUTRAJAYA: Seorang rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan tidak dapat dihubungi susulan banjir dan tanah runtuh di Nepal telah selamat pulang ke tanah air, manakala 54 lagi masih belum dapat dihubungi.
Menurut Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini, rakyat Malaysia berkenaan datang sendiri ke Kedutaan Malaysia di Kathmandu pada 1 Oktober dan identitinya disahkan sebelum beliau pulang ke Malaysia pada keesokan harinya.
“Dengan statusnya kini disahkan, rekod kementerian ialah 54 rakyat Malaysia dilaporkan sebagai tidak dapat dihubungi.
“Kementerian akan terus mengesahkan setiap kes secara berasingan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui pihak berkuasa berkaitan dan saluran yang ada,” menurut kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan bahawa pihak berkuasa Malaysia yang berkaitan akan merekodkan kenyataan individu berkenaan bagi melengkapkan rekod rasmi kesnya dan beliau juga akan menjalani penilaian kesihatan.
Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut menjalankan pengesahan lanjut dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan serta menyemak rekod berhubung perkembangan itu.
Bagaimanapun, menurut kementerian, pihaknya tidak akan mendedahkan butiran peribadi lanjut mengenai rakyat Malaysia yang pulang itu bagi menghormati privasinya.
Sementara itu, Wisma Putra terus memantau perkembangan di Nepal susulan pengumuman Pihak Berkuasa Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Nepal pada 30 September bahawa operasi mencari dan menyelamat telah selesai dan beralih kepada usaha mencari dan pemulihan.
“Perkembangan ini tidak menamatkan usaha Malaysia untuk mengesahkan status kesemua 54 rakyat Malaysia yang dilaporkan sebagai tidak dapat dihubungi pada masa ini,” katanya.
Malaysia akan meneruskan usaha pengesahan menerusi kedutaannya di Kathmandu dan Beijing, selain terus berhubung dengan pihak berkuasa berkaitan serta menggunakan saluran rasmi lain yang tersedia.
Kementerian juga akan terus mengikuti proses perundangan dan pentadbiran yang dibangunkan di Nepal berhubung dokumentasi serta prosedur yang terpakai kepada mangsa bencana yang masih tidak dapat dihubungi.
Ia menambah bahawa perkembangan yang telah disahkan mengenai kes individu akan dimaklumkan terus kepada waris terdekat mereka, sambil menggesa orang ramai dan media menghormati privasi keluarga terbabit serta mengelak daripada membuat spekulasi mengenai kes yang belum disahkan.
Banjir kilat dan tanah runtuh melanda daerah Rasuwa, Nepal dan kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos selepas hujan lebat serta tanah runtuh berkaitan glasier berlaku di sepanjang Sungai Bhote Koshi.
Bencana itu menyebabkan kerosakan besar pada jalan raya, jambatan, rangkaian komunikasi dan infrastruktur lain, sekali gus menyekat akses ke beberapa kawasan terjejas serta menghalang operasi mencari dan menyelamat. Gangguan bekalan elektrik dan telekomunikasi turut menyukarkan usaha menghubungi orang ramai di kawasan berkenaan. – Bernama




