DEBAK: Penduduk Debak dan kawasan sekitarnya bakal menikmati kemudahan kesihatan yang lebih selesa dan lengkap menerusi projek penggantian bangunan Klinik Kesihatan Debak serta pembinaan baharu Klinik Pergigian Debak bernilai RM11 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, projek tersebut dibiayai kerajaan Sarawak menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Menurut beliau, bangunan Klinik Kesihatan Debak sedia ada yang dibina sekitar tahun 1970-an akan digantikan dengan bangunan baharu konkrit dua tingkat yang lebih moden dan selesa.
“Bangunan baharu ini akan menempatkan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Klinik Pergigian, pejabat, bilik mesyuarat, Unit Hemodialisis, Unit X-ray serta wad bersalin yang lebih selesa dan pelbagai kemudahan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Klinik Kesihatan Debak, di sini hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menjelaskan, projek berkenaan turut dilengkapi teknologi serta peralatan perubatan terkini bagi meningkatkan keupayaan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.
“Apabila siap kelak, ia akan menjadi sebuah klinik kesihatan yang lebih lengkap dan mampu memberikan kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya.
Projek itu dijangka mengambil tempoh 20 bulan untuk disiapkan dan pembinaannya bermula pada Julai 2026.
Sepanjang tempoh pembinaan, operasi Unit Kesihatan Ibu dan Anak (MCH) akan dipindahkan sementara ke sebuah bangunan di belakang Klinik Kesihatan Debak yang telah ditambah baik oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).
Langkah itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat tidak terjejas sepanjang kerja-kerja pembinaan bangunan baharu dilaksanakan.
Projek berkenaan diharap dapat berjalan lancar dan disiapkan mengikut jadual, sekali gus menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih menyeluruh, selesa dan berkualiti untuk penduduk Debak serta kawasan sekitarnya.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu; Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas dan Pegawai Kesihatan Bahagian Betong, Dr Haizam Narawi.
Oleh Adi Safarman




