Banjir Nepal: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia hilang disahkan selamat

Facebook
WhatsApp
ORANG ramai berjalan melintasi kelodak dan mendapan berhampiran rumah yang rosak susulan banjir kilat pada 26 Ogos lalu, di Betrawati Bazaar, Daerah Rasuwa, Nepal pada 28 September 2026. Foto AFP

KUALA LUMPUR: Seorang daripada 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan terputus hubungan susulan bencana banjir dan tanah runtuh di Nepal pada Ogos lepas, disahkan selamat dan telah kembali ke Malaysia.

Jurucakap Malaysia Solidarity: Families in Hope (MASFIH) Dr Manivannan Rethinam berkata lelaki berkenaan hadir sendiri ke Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu semalam, sebelum berlepas pulang dan selamat tiba di negara ini, pagi tadi.

Beliau berkata perkara tersebut dimaklumkan oleh Kementerian Luar melalui kumpulan WhatsApp waris terdekat hari ini, namun tidak dikongsikan nama individu berkenaan.

“Individu tersebut melakukan perjalanan secara bersendirian dan merupakan satu-satunya pengembara solo yang kini telah disahkan selamat daripada senarai asal 55 rakyat Malaysia (yang dilaporkan hilang).

“Kami dimaklumkan bahawa individu terbabit berada di Nagthali Viewpoint pada 3.26 petang, 25 Ogos, iaitu sehari sebelum kejadian banjir dan tanah runtuh pada 26 Ogos. Nagthali Viewpoint merupakan kawasan tanah tinggi dan berada jauh lebih tinggi berbanding kawasan Rasuwagadhi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Manivannan berkata berdasarkan maklumat waris, lelaki terbabit terkandas susulan kemusnahan rangkaian jalan raya dan jambatan, selain ketiadaan bekalan elektrik, air bersih serta akses telekomunikasi yang menyukarkan pergerakan. 

Beliau berkata perkembangan itu memberikan gambaran penting bahawa mangsa bencana berkemungkinan berada dalam keadaan selamat, namun terkandas serta terputus hubungan untuk tempoh panjang akibat kerosakan kemudahan asas dan kemudahan komunikasi terjejas.

Susulan perkembangan itu, katanya, terdapat baki 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi dengan kesemua mereka melakukan perjalanan dalam beberapa kumpulan yang berasingan.

“Bagi MASFIH, perkembangan ini bukan sekadar perubahan angka daripada 55 kepada 54, namun tentang sebuah keluarga yang akhirnya menerima kembali insan yang mereka sayangi selepas 37 hari penuh ketidakpastian.

“Kami berharap kepulangan beliau dengan selamat akan terus menjadi sinar harapan kepada 54 keluarga yang lain bahawa insan yang mereka sayangi juga mungkin masih berada di luar sana dan suatu hari nanti dapat kembali kepada mereka,” katanya.

Banjir dan aliran puing pada 26 Ogos lepas yang dicetuskan oleh runtuhan ais dan batu di kawasan tadahan hulu Lhende Khola di Tibet dilaporkan mengorbankan lebih 1,450 orang, manakala ribuan lagi masih belum dapat dikesan. – Bernama