PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan lima hari bermula 25 Januri depan untuk mendengar petisyen difailkan Petroliam National Bhd (Petronas) dan kerajaan negeri Sarawak bagi mencabar undang-undang negeri serta Persekutuan yang mengawal selia hal berkaitan minyak dan gas.
Hakim Datuk Rhodzariah Bujang berkata petisyen-petisyen berkenaan akan didengar mengikut turutan tarikh pemfailan.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar petisyen berkenaan untuk memutuskan sama ada isu awal yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sarawak berhubung kesahihan Perintah dalam Majlis (Perubahan Sempadan) Sarawak 1954 (OIC), yang berkaitan dengan sempadan perairan wilayah Sarawak, perlu didengar terlebih dahulu.
Beliau berkata memandangkan kedua-dua petisyen berkenaan tidak disatukan, panel yang mendengar petisyen berkenaan adalah pihak yang paling wajar untuk menentukan sama ada isu awal itu perlu didengar terlebih dahulu.
Hakim Rhodzariah membuat keputusan itu hari ini selepas kedua-dua kes dikemukakan di hadapannya bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung saman terbabit.
Beliau turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing bagi petisyen terbabit serta isu-isu awal sebelum 11 Januari depan manakala hujahan balasan perlu difailkan sebelum 18 Januari serta menetapkan 12 Januari untuk pengurusan kes.
“Tarikh pendengaran ditetapkan dari 25 hingga 29 Januari tahun depan,” kata hakim itu.
Peguam Kanan negeri Mohd Adzrul Adzlan yang mewakili kerajaan negeri Sarawak memaklumkan kepada mahkamah pihaknya akan memfailkan permohonan berhubung isu awal yang dibangkitkan itu menerusi Kaedah 23 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 dalam tempoh 14 hari dari tarikh hari ini.
Sementara itu, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak akan menulis surat kepada Ketua Hakim Negara bagi memohon agar petisyen berkenaan didengar oleh panel hakim lebih besar, sama ada sembilan atau 11 hakim.
Petronas dan kerajaan negeri Sarawak sebelum ini telah memaklumkan mahkamah bahawa kedua-dua pihak mahu petisyen masing-masing didengar secara berasingan.
Petronas mahu petisyennya didengar terlebih dahulu, mengikut turutan tarikh pemfailan petisyen masing-masing namun kerajaan negeri Sarawak mencadangkan supaya kes mereka didengar dahulu, diikuti petisyen Petronas.
Petronas memfailkan petisyen pada 10 Januari lepas dan memperoleh kebenaran di bawah Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan pada 16 Mac manakala kerajaan negeri Sarawak memfailkan petisyen pada 23 Februari lepas.
Pada prosiding hari ini, Mohd Adzrul berhujah panel Mahkamah Persekutuan yang mendengar petisyen itu perlu terlebih dahulu mendengar isu awal berkaitan OIC sebelum meneruskan pendengaran petisyen tersebut namun peguam Petronas Datuk Dr Cyrus Das memaklumkan tiada asas untuk menjadikan status undang-undang OIC sebagai isu awal dan isu berkaitan OIC boleh dibangkitkan sepanjang prosiding pendengaran petisyen terbabit.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi yang mewakili Kerajaan Persekutuan menyokong hujahan peguam Petronas dan berhujah bahawa petisyen Petronas wajar didengar terlebih dahulu.
Berhubung isu awal yang dibangkitkan kerajaan negeri Sarawak berkaitan kesahihan OIC, beliau berkata isu berkenaan tidak perlu didengar sebagai persoalan undang-undang awal dan kerajaan negeri Sarawak boleh membangkitkannya ketika pendengaran utama.
Pada 16 Mac lepas, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan syarikat minyak dan gas negara itu untuk memulakan prosiding bagi mencabar keupayaan legislatif Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menggubal undang-undang tertentu dan memohon pengisytiharan beberapa undang-undang yang digubal oleh DUN itu sebagai tidak sah.
Petronas mendakwa DUN Sarawak tidak mempunyai keupayaan untuk menggubal, mengubah, meminda atau menyemak undang-undang berkaitan perkara di bawah Senarai 1, Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, kerajaan negeri Sarawak memfailkan petisyen terhadap Kerajaan Malaysia dan Petronas, memohon Mahkamah Persekutuan untuk menentukan keabsahan dari segi Perlembagaan dan pemakaian berterusan beberapa akta Persekutuan di Sarawak.
Kerajaan negeri Sarawak antara lain memohon pengisytiharan bahawa Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 sebagaimana yang terpakai di Sarawak, adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah sejak awal.- Bernama





