KUALA LUMPUR: Pertandingan Miss Universe Malaysia (MUM) 2026 memperkenalkan mahkota rasmi terbaharu yang dinamakan ‘Star of the East’, bagi mengetengahkan identiti dan seni warisan negara di pentas antarabangsa.
Mahkota yang menampilkan perincian seni halus serta batu permata eksklusif itu diperkenalkan oleh Presiden merangkap Pengarah Kebangsaan MUM 2026 Ayu Omar pada majlis Preliminary Miss Universe Malaysia 2026 di sini, malam tadi.
Ayu berkata reka bentuk mahkota berkenaan menggabungkan keanggunan seni Melayu dan keindahan budaya Timur dengan sentuhan moden, melambangkan era baharu penganjuran acara berprestij itu di bawah syarikatnya, Ratu Prestigious Event Management (RPEM).
“Mahkota dibina penuh teliti dengan perincian bucu-bucu tajam pada mahkota diinspirasikan secara khusus daripada motif seni warisan Sarawak. Bahagian puncaknya pula dihiasi sebuah bintang menyinar sebagai simbol perpaduan, cita-cita dan harapan agar Malaysia terus bersinar di mata dunia.
“Kemewahan mahkota itu disempurnakan lagi dengan tatahan batu permata berwarna merah jambu fuksia yang melambangkan keberanian, kewanitaan serta semangat wanita Malaysia hari ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis berkenaan.

Ayu berkata mahkota eksklusif itu merupakan rekaan khas ahli jawatankuasa penganjur Abbas Ais, sebelum ditukang oleh pembuat mahkota tersohor Thailand, Maq daripada Junghuu Crown.
Meskipun enggan mendedahkan nilai sebenar mahkota berkenaan, Ayu memberi jaminan bahan dan batu permata yang digunakan adalah daripada gred tertinggi khas buat bakal pemenang.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan atas sokongan penuh Tourism Malaysia dalam menjayakan penganjuran edisi kali ini.
“Kerjasama ini bukan sahaja menempatkan Miss Universe Malaysia dalam legasi era baharu, tetapi juga menjadi platform kukuh untuk mempromosikan kebudayaan dan sektor pelancongan negara di mata dunia,” katanya.
Malam kemuncak MUM 2026 bakal menyaksikan persaingan sengit antara 13 finalis tempatan yang bertanding merebut gelaran ratu cantik paling berprestij tanah air itu pada Jumaat ini.
Pemenang yang dinobatkan pada malam itu akan membawa cabaran negara ke pertandingan Miss Universe 2026 di Puerto Rico pada November depan.- Bernama



