Arab Saudi siasat insiden pesawat Flydubai mendarat cemas di Tabuk

Facebook
WhatsApp

ISTANBUL: Pusat Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSC) Arab Saudi pada Rabu melancarkan siasatan berhubung insiden pendaratan cemas sebuah pesawat penumpang Flydubai di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz di bandar Tabuk, barat laut negara itu.

Anadolu Ajansi melaporkan pusat itu memaklumkan pihaknya menerima laporan mengenai penerbangan Flydubai FZ1073 yang melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang berkenaan pada Rabu.

Menurut NTSC, pasukan penyiasat keselamatan penerbangan telah memulakan siasatan dan sedang menyelaras dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti keadaan yang membawa kepada insiden itu, mengesahkan aspek berkaitan keselamatan penerbangan serta mengumpul maklumat dan bukti.

Pesawat itu dalam penerbangan dari Dubai ke Tel Aviv sebelum ia dilencongkan ke Arab Saudi.

Flydubai memaklumkan berlaku “pertengkaran di kokpit” dan kru berjaya mengawal keadaan dalam pesawat serta melencongkannya dengan selamat ke Arab Saudi.

Syarikat penerbangan yang berpangkalan di Dubai itu memaklumkan semua penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat, sambil menambah bahawa punca serta motif di sebalik pertengkaran itu masih tertakluk kepada siasatan rasmi.

Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Sultan bin Abdulaziz sebelum itu memaklumkan Pusat Kawalan Trafik Udaranya menerima panggilan kecemasan daripada penerbangan FZ1073 pada 8.44 pagi waktu tempatan yang memohon untuk melakukan pendaratan cemas.

Lapangan terbang itu memaklumkan kapten dan pegawai pertama cedera dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Penerbangan yang membawa seramai 174 penumpang itu dilaporkan menghantar kod kecemasan antarabangsa “7700” dan kemudiannya “7500”, iaitu kod yang digunakan untuk menunjukkan berlaku campur tangan menyalahi undang-undang terhadap pesawat, termasuk kemungkinan rampasan pesawat.

Lapangan terbang itu kemudian memaklumkan semua penumpang berlepas pada 5.40 petang waktu tempatan dengan menaiki pesawat alternatif yang disediakan syarikat penerbangan berkenaan.- Bernama-Anadolu