Mengisi makna Sarawak dalam Negara-Bangsa Malaysia

Facebook
WhatsApp

APABILA kita berbicara mengenai Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa, persoalan yang sering muncul ialah bagaimana sebuah negara yang begitu rencam dapat terus diperkukuh tanpa menghilangkan perbezaan sejarah, wilayah, budaya dan pengalaman rakyatnya.

Dalam konteks inilah kedudukan Sarawak perlu dilihat dengan lebih luas. Sarawak bukan sekadar sebuah negeri dalam susunan pentadbiran Malaysia. Sarawak ialah antara wilayah yang mempunyai sejarah, geografi, masyarakat dan pengalaman politik tersendiri dalam pembentukan Malaysia.

Oleh sebab itu, memahami Sarawak tidak memadai dengan melihatnya melalui ukuran pusat dan pinggiran. Kita perlu beralih kepada satu pemahaman yang melihat negara sebagai suatu tautan dan  jalinan hubungan.

Dalam kerangka ini, kekuatan Malaysia bukan datang daripada semua wilayah menjadi sama, tetapi daripada kemampuan negara mengurus perbezaan secara adil, saling menghormati dan saling mengiktiraf.

Kenegaraan bertaut

Inilah yang boleh kita sebut sebagai kenegaraan bertaut. Negara tidak hanya bergerak dari satu pusat yang memberi arahan kepada wilayah lain. Sebaliknya, negara terbina melalui hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, masyarakat, institusi, sejarah dan budaya.

Semua bahagian ini saling bertautdan saling memberi makna kepada Malaysia. Sarawak, dalam pengertian ini, bukan sekadar penerima dasar dari pusat. Sarawak juga mempunyai peranan dalam membentuk wajah dan pengertian Malaysia.

Pengalaman tidak semestinya sama

Salah satu perkara penting yang perlu difahami ialah bahawa kesamarataan di atas kertas tidak semestinya menghasilkan kesamarataan dalam kehidupan sebenar.

Semua rakyat Malaysia mungkin mempunyai hak yang sama terhadap pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kemudahan awam. Namun tempat seseorang tinggal boleh menentukan sejauh mana hak itu benar-benar dapat dinikmati.

Penduduk di bandar besar mungkin hanya mengambil masa beberapa minit untuk sampai ke hospital, sekolah atau pejabat kerajaan. Sebaliknya, bagi sebahagian penduduk di kawasan pedalaman, perjalanan mungkin memerlukan beberapa jam, kos pengangkutan yang tinggi dan keadaan jalan yang sukar.

Di sinilah pentingnya konsep kewarganegaraan berasaskan ruang. Maksudnya ialah tempat seseorang tinggal tidak sepatutnya menyebabkan haknya sebagai warganegara menjadi terabai.

Maka, keadilan tidak boleh diukur hanya melalui jumlah sekolah, klinik atau jalan raya yang dibina. Yang perlu ditanya ialah sejauh mana kemudahan itu benar-benar boleh dicapai oleh rakyat?

Atas sebab itu juga, pemberian peruntukan yang sama kepada semua kawasan tidak semestinya adil. Kawasan yang luas, berselerak dan sukar dicapai mungkin memerlukan kos yang lebih tinggi.

Dalam keadaan sebegini, memberikan lebih banyak sumber bukanlah satu keistimewaan, tetapi usaha untuk mencapai hasil yang lebih seimbang.

Mengiktiraf kedudukan, bukan sekadar memberi kuasa

Hubungan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan juga tidak harus dilihat semata-mata sebagai urusan pentadbiran. Terdapat perbezaan  di antara memberi kuasa kerana lebih mudah diurus di peringkat negeri dengan mengiktiraf sesuatu kuasa kerana ia berkait dengan sejarah dan kedudukan sesebuah wilayah.

Yang pertama boleh disebut sebagai autonomi atas kecekapan. Kuasa diserahkan kerana kerajaan negeri lebih hampir dengan rakyat dan mungkin lebih cekap mengurus sesuatu perkara.

Yang kedua ialah autonomi berasaskan kedudukan. Dalam hal ini, kuasa bukan sekadar soal kecekapan, tetapi berkait dengan sejarah, persetujuan dan kedudukan wilayah dalam pembentukan negara. Dalam konteks Sarawak, perkara ini penting kerana hubungan Persekutuan-negeri mempunyai latar sejarah yang khusus.

Di sinilah muncul gagasan federalisme pengiktirafan. Federalisme bukan sekadar membahagikan kuasa antara pusat dengan negeri. Ia juga bermaksud mengiktiraf sejarah, kedudukan dan peranan wilayah tersebut.

Secara ringkas, Sarawak perlu mempunyai ruang untuk mengurus perkara tertentu sendiri, mempunyai suara dalam keputusan yang melibatkan negara secara keseluruhan dan pada masa sama mendapat pengiktirafan terhadap kedudukannya.

Pengiktirafan seperti ini tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman terhadap perpaduan negara. Sebaliknya, pengiktirafan yang jelas boleh mengukuhkan rasa memiliki terhadap negara.

Budaya bukan sekadar untuk dipamerkan

Satu lagi persoalan penting ialah bagaimana kita melihat budaya dan pengetahuan masyarakat tempatan. Negara banyak meraikan kepelbagaian melalui pakaian tradisional, tarian, makanan dan perayaan.

Semua itu penting, namun pengiktirafan budaya tidak seharusnya berhenti pada festival dan pertunjukan. Masyarakat tempatan bukan sekadar pemilik tarian atau pakaian. Mereka juga mempunyai pengetahuan mengenai bahasa, adat, hutan, sungai, perubatan tradisional, sejarah lisan dan hubungan manusia dengan alam.

Sebab itu masyarakat setempat memerlukan hak terhadap pengetahuan budaya atau kearifan tempatan mereka sendiri.

Maksudnya, sesuatu masyarakat bukan hanya berhak memiliki budayanya tetapi juga mempunyai suara dalam menentukan bagaimana budaya dan pengetahuannya dihuraikan, disimpan dan digunakan.

Persoalan pihak mana yang paling berhak menerangkan sesuatu budaya?

Jika orang luar sahaja menulis, menafsir dan menyimpan pengetahuan tentang sesuatu masyarakat, sedangkan masyarakat itu sendiri kurang mempunyai kuasa terhadap pengetahuan mereka, maka wujud ketidakseimbangan.

Cabaran ini menjadi lebih besar dalam zaman kecerdasan buatan. Bahasa, cerita, pengetahuan adat dan maklumat budaya boleh dikumpulkan dalam jumlah besar untuk membangunkan teknologi baharu.

Persoalannya ialah sama ada masyarakat sumber mengetahui bagaimana maklumat itu digunakan. Adakah mereka mendapat manfaat? Adakah mereka mempunyai hak untuk menentukan batas penggunaannya? Teknologi seharusnya memperkasa masyarakat, bukan sekadar mengambil pengetahuan mereka.

Banyak pusat, tetapi tetap satu negara

Malaysia juga perlu bergerak ke arah pemahaman negara yang mempunyai beberapa pusat yang saling bertaut. Ini tidak bermaksud memecahkan negara kepada bahagian-bahagian yang berdiri sendiri.

Sebaliknya, ia bermaksud mengakui bahawa tidak semua keputusan, pengetahuan dan pengalaman harus berpusat pada satu tempat.

Putrajaya kekal sebagai pusat pemerintahan Persekutuan. Kuching pula mempunyai peranan sebagai pusat pemerintahan Sarawak.

Kedua-duanya boleh mempunyai bidang dan tanggungjawab masing-masing sambil kekal dalam satu kerangka negara. Mudahnya, banyak pusat, tetapi satu negara.

Pendekatan ini mengelakkan keterlaluan. Yang pertama, pemusatan berlebihan sehingga wilayah merasakan identiti dan suaranya semakin mengecil. Kedua, pemisahan sehingga hubungan antara wilayah dengan negara menjadi lemah. Jalan tengahnya ialah perkongsian tanggungjawab, pengiktirafan dan muafakat.

Sarawak turut membentuk makna Malaysia

Akhirnya, persoalan Sarawak dalam Malaysia bukan sekadar soal berapa banyak kuasa perlu diberikan, berapa banyak peruntukan pembangunan perlu diterima atau berapa banyak hak perlu dipulihkan.

Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana kita memahami Malaysia itu sendiri. Malaysia tidak menjadi lebih kukuh apabila semua wilayah dipaksa menjadi seragam. Malaysia menjadi lebih matang apabila ia mampu menerima bahawa setiap wilayah mempunyai sejarah, pengalaman dan keperluan yang berbeza.

Sarawak bukan hanya sebahagian Malaysia daripada sudut peta dan pentadbiran. Sarawak turut membawa pengalaman Borneo, masyarakat pelbagai kaum, budaya tempatan, sejarah politik dan cara hidup yang memperkayakan pengertian Malaysia.

Maka, mengisi makna Sarawak dalam negara-bangsa Malaysia bererti mengubah cara kita berfikir tentang perpaduan manakala Perpaduan bukan bermaksud semua perlu sama.

Perpaduan ialah kemampuan untuk hidup dalam satu negara dengan perbezaan yang dihormati, hak yang dapat dinikmati secara nyata, kedudukan yang diiktiraf dan pengetahuan masyarakat yang diberikan tempat sewajarnya.

Dalam erti kata yang lebih besar, Sarawak bukan sekadar berada dalam Malaysia yang lebih penting ialah Sarawak turut membentuk Malaysia, dan Malaysia juga menjadi lebih lengkap apabila makna Sarawak benar-benar difahami.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawiadalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara dan Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia. Baru-baru ini beliau menerima Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.