Kepelbagaian kaum, agama dan budaya kekuatan Sarawak – Rosey

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH...Datuk Rosey Yunus menerima cenderahati daripada Penghulu Choo Chong Yee pada Malam Perarakan Tanglung dan Festival Kuih Bulan yang diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sibuti semalam.

BEKENU: Kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan masyarakat Sarawak bukan penghalang kepada perpaduan, sebaliknya menjadi kekuatan utama negeri ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata masyarakat Sarawak sejak dahulu lagi terbiasa hidup dalam suasana saling menghormati antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Program Malam Perarakan Tanglung dan Festival Kuih Bulan anjuran masyarakat Cina Bekenu ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan sesama kita, tetapi juga memberi ruang untuk kita saling memahami antara satu sama lain serta memperkukuh hubungan dalam kalangan masyarakat.

“Inilah keistimewaan kita di Sarawak. Dalam sebuah sekolah, misalnya, anak-anak kita terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, namun sejak awal mereka telah dididik untuk saling menghormati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Perarakan Tanglung dan Festival Kuih Bulan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sibuti, semalam.

Rosey, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, berkata semangat perpaduan itu dapat dilihat apabila masyarakat Sarawak bersama-sama meraikan pelbagai perayaan tanpa mengira agama dan kaum.

Katanya, keadaan tersebut sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Sarawak yang sentiasa mengutamakan keharmonian dan sikap saling menghormati.

“Kita sangat bersyukur kerana semangat ini turut mendapat perhatian di peringkat kepimpinan tertinggi negeri, termasuk melalui kewujudan unit yang memberi tumpuan kepada agama-agama lain selain Islam.

“Ini membantu membina kerjasama dan memperkukuh hubungan antara masyarakat pelbagai agama,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang diamalkan Sarawak turut mendapat perhatian negeri-negeri lain yang ingin memahami bagaimana kepelbagaian agama dan kaum dapat diurus dengan baik.

Tambahnya, Sarawak yang mempunyai lebih 30 kumpulan etnik membuktikan bahawa kepelbagaian boleh menjadi sumber kekuatan sekiranya masyarakat terus mengamalkan sikap saling menghormati dan bekerjasama.

“Ini yang menjadikan Sarawak istimewa. Kita mempunyai begitu banyak kaum dan agama, tetapi kita boleh hidup bersama dan menjadikan kepelbagaian itu sebagai kekuatan kepada negeri,” katanya.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni, Pegawai Daerah Subis Ashard Samshu, Pemanca, Dr Ali Mudin, Penghulu Choo Chong Yee dan Penghulu Pui Kuan Phen.

Oleh Adum Liu