MIRI: Pengurusan tenaga kerja bukan anak Sarawak di negeri ini bakal diperkukuh menerusi Pendekatan Transformasi Pekerja Bukan Pemastautin (FWTA) yang menggabungkan aspek pengurusan, pemantauan, perkongsian data dan penyampaian perkhidmatan.
Penasihat di Jabatan Premier Sarawak, Datu Ken Leben berkata, FWTA dibangunkan ILMU sebagai pendekatan baharu dalam pengurusan hal ehwal Pekerja Bukan Pemastautin bagi memastikan urusan tenaga kerja dan imigresen dilaksanakan dengan lebih sistematik, telus dan efisien.
Menurutnya, pelaksanaan FWTA turut memperkukuh usaha berkaitan autonomi Sarawak, khususnya dalam mengawal, mengurus dan memantau kemasukan warga bukan Sarawakian serta keperluan tenaga buruh industri.
“Pendekatan yang lebih tersusun dan berasaskan data membolehkan kita memperoleh maklumat yang lebih tepat untuk mengenal pasti keperluan tenaga kerja, industri dan kemasukan individu ke Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Program Kemas Kini Industri SCSIMon di Miri sempena Sambutan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2026 di sini hari ini.
Datu Ken berkata, FWTA turut memberi penekanan kepada pengurusan bakat tempatan bagi memastikan keperluan industri dipenuhi, di samping memberi keutamaan kepada rakyat Sarawak untuk mengisi peluang pekerjaan yang bersesuaian.
Katanya, sistem itu kini dalam proses disepadukan dengan sistem Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi meningkatkan pertukaran serta perkongsian data.
“Integrasi ini akan meningkatkan mutu dan kecekapan pegawai dalam memproses permohonan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak, termasuk agensi kerajaan dan pemain industri, supaya bekerjasama memastikan pelaksanaan FWTA memberi manfaat kepada industri dan rakyat Sarawak.
Oleh Liong Chai Ling





