KUCHING: Seramai 60 warga Jabatan Imigresen (JIM) menyertai Kursus Kecergasan Emosi Di Tempat Kerja: Meningkat Sinergi Dan Prestasi Pasukan bagi memperkukuh pengurusan emosi dan kerja berpasukan.
Menurut JIM, kursus anjuran Unit Dasar Latihan dan Kompetensi, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) Negeri Sarawak itu berlangsung pada 22 hingga 24 September lalu di Pusat Latihan Kenegaraan Sampadi, Lundu.
“Kursus berkenaan melibatkan warga kerja gred 1 hingga 6 daripada pelbagai bahagian dan pejabat Imigresen di seluruh Sarawak.
“Program dikendalikan penceramah dan fasilitator daripada AKM Negeri Sarawak serta Sahabat Penggerak MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, kursus itu bertujuan memberi pendedahan dan membimbing peserta mengenali, memahami serta mengurus emosi diri sendiri dan rakan sekerja dengan lebih berkesan dalam persekitaran kerja.
“Antara fokus utama adalah kemahiran insaniah termasuk empati, motivasi diri dan komunikasi berkesan yang dapat menyokong peningkatan produktiviti serta pengukuhan kerja berpasukan.
“Kemahiran berkenaan turut membantu peserta menangani dan menyelesaikan konflik di tempat kerja secara konstruktif,” jelasnya.
Majlis penutupan kursus serta penyampaian cenderamata kepada penceramah dan fasilitator disempurnakan Ketua Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Nurul Amirah Radzali.
JIM Sarawak berkata penganjuran kursus itu diharap dapat memperkukuh kecergasan emosi warga jabatan, seterusnya membentuk pasukan yang lebih positif dan berdaya tahan dalam melaksanakan tugas.





