TANJUNG MANIS: Kenaikan imbuhan bulanan sebanyak RM400 kepada 7,700 ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) di seluruh Sarawak mencerminkan pengiktirafan terhadap tanggungjawab mereka yang semakin luas sebagai penghubung antara kerajaan dengan rakyat.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh, berkata kenaikan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Pada tahun 2026, seramai 7,700 KMKK di seluruh Sarawak menerima kenaikan imbuhan bulanan sebanyak RM400 berkuat kuasa 1 Januari 2026.
“Kadar permulaan bulanan kini ialah RM2,000 bagi Temenggong, RM1,700 bagi Pemanca, RM1,500 bagi Penghulu dan RM1,300 bagi Ketua Kaum,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Pemerkasaan KMKK dalam Penjagaan Alam Sekitar ke Arah Pembangunan Mampan Daerah Tanjung Manis 2026, hari ini.
Katanya, kekuatan sistem pentadbiran Sarawak sejak sekian lama bukan sahaja bergantung pada dasar yang digubal kerajaan, malah turut diperkukuh menerusi kerjasama erat antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf sumbangan besar KMKK dalam memastikan dasar-dasar kerajaan dapat disampaikan dengan berkesan kepada rakyat, di samping membawa suara dan keperluan masyarakat kepada perhatian kerajaan.
“Di Tanjung Manis, peranan KMKK perlu terus diperkasa seiring dengan perkembangan kawasan ini. Selain menyampaikan dasar kerajaan, KMKK juga penting dalam memastikan komuniti mendapat manfaat daripada pembangunan serta membantu mengenal pasti isu berkaitan kebersihan, keselamatan, kemudahan asas, alam sekitar dan keperluan rakyat.
“Saya berharap setiap KMKK terus menjadi jambatan yang berkesan antara kerajaan dengan rakyat,” katanya.
Tambahnya, skop tugas KMKK kini bukan lagi terbatas kepada menyelesaikan isu kemasyarakatan, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab sebagai pemudah cara dalam pelaksanaan dasar kerajaan dan memupuk perpaduan dalam komuniti.
“Dengan tanggungjawab yang semakin luas, peranan KMKK juga semakin mencabar. KMKK bukan sahaja menyelesaikan isu kemasyarakatan, malah menjadi pemudah cara kepada pelaksanaan dasar kerajaan, memupuk perpaduan serta memastikan pembangunan di kawasan masing-masing berjalan dengan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Saya amat menghargai komitmen semua KMKK yang terus melaksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi,” katanya lagi.
Dalam aspek penjagaan alam sekitar, Len Talif berkata KMKK berada pada kedudukan strategik kerana mereka paling hampir dengan masyarakat dan memahami keadaan di kawasan masing-masing.
“KMKK sering menjadi pihak terawal yang mengetahui sekiranya berlaku pencemaran sungai, pembakaran terbuka, pembuangan sisa secara haram atau aktiviti yang berpotensi menjejaskan alam sekitar.

“Bagi Tanjung Manis, perhatian khusus perlu diberikan kepada kebersihan sungai dan kawasan pesisir pantai serta pengurusan sisa.
“Maklumat yang disalurkan melalui KMKK membolehkan tindakan segera diambil oleh agensi kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peranan KMKK dalam membentuk kesedaran masyarakat kerana kejayaan sesuatu dasar alam sekitar tidak hanya bergantung pada penguatkuasaan undang-undang.
“Saya percaya masyarakat akan lebih mudah menerima sesuatu mesej apabila ia disampaikan oleh pemimpin yang mereka kenali, hormati dan percayai.
“Oleh itu, saya berharap KMKK terus menjadi contoh dalam membudayakan amalan menjaga kebersihan, mengurus sisa secara bertanggungjawab, melindungi sungai, kawasan pesisir dan persekitaran setempat,” katanya.
Mengenai pembangunan Tanjung Manis, katanya, kawasan tersebut terus berkembang menerusi Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) sebagai hab pertumbuhan bagi sektor agro dan akuakultur, pemprosesan makanan, industri halal, industri berasaskan kayu, marin, logistik serta pelabuhan.
“Seiring dengan perkembangan ini, pembangunan perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab agar kemajuan ekonomi bergerak seiring dengan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.
Len Talif turut mengingatkan bahawa kejadian yang melanda Sarawak sejak pertengahan Ogos lalu membuktikan masalah alam sekitar mampu memberi kesan langsung terhadap kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan kehidupan harian masyarakat.
“Kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) serta agensi berkaitan akan terus memantau keadaan jerebu dan mengambil langkah mitigasi yang diperlukan.
“Dalam hal ini, saya menyeru semua KMKK di Tanjung Manis supaya menyampaikan maklumat yang tepat, mengingatkan komuniti agar mengelakkan pembakaran terbuka serta mengikuti perkembangan bacaan IPU dan arahan rasmi.
“Sebarang kebakaran atau pembakaran terbuka hendaklah dilaporkan segera kepada pihak berkuasa. Tindakan awal di peringkat komuniti amat penting untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih serius,” tambahnya.
Jelasnya, pembangunan seimbang bukan lagi satu pilihan, tetapi keperluan, khususnya ketika Tanjung Manis berkembang sebagai kawasan ekonomi yang mempunyai pelbagai potensi.
“Dalam merealisasikan aspirasi tersebut, saya berharap KMKK akan terus memainkan peranan sebagai pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan berpandangan jauh.
“Jadilah pemimpin yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat, menjadi contoh kepada masyarakat serta berani memimpin perubahan ke arah kehidupan yang lebih lestari.
“Manfaatkanlah segala ilmu, pengalaman dan pendedahan yang diperoleh sepanjang seminar ini demi kesejahteraan komuniti masing-masing,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





