SARATOK: Pasukan PGA Fighter membuktikan kehebatan apabila dinobatkan sebagai juara Pertandingan Gasing Pangkah Kalaka sempena Pesta Saratok 2026 yang melabuhkan tirainya malam tadi.
Kejayaan itu membolehkan PGA Fighter membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta pingat, selepas menampilkan aksi cemerlang sepanjang pertandingan yang berlangsung selama tiga malam berturut-turut.
Pasukan BAD yang menjadi lawan PGA Fighter pada pusingan akhir pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan membawa pulang wang tunai RM500 berserta pingat.
Sementara itu, Team Pak Aji menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM400 berserta pingat, manakala Pasukan 9 Naga berada di tempat keempat dan menerima wang tunai RM300 berserta pingat.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.
Pertandingan tersebut telah dirasmikan oleh Friday pada Sabtu lalu dan menjadi antara pengisian menarik dalam sambutan Pesta Saratok 2026, khususnya dalam mengangkat seni serta permainan tradisional masyarakat tempatan.
Pertandingan Gasing Pangkah Kalaka turut mendapat sambutan apabila sebanyak 20 pasukan mengambil bahagian dalam edisi kali ini, sekali gus menyemarakkan lagi suasana pesta yang dianjurkan untuk mengeratkan hubungan masyarakat setempat.
Untuk tahun ini, ADUN Krian menjadi tuan rumah Pesta Saratok 2026, dengan penganjuran pesta berkenaan dilaksanakan secara bergilir antara ADUN Krian dan ADUN Kalaka.
Tahniah diucapkan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian, khususnya PGA Fighter atas kejayaan muncul juara, manakala pasukan yang belum bernasib baik diharap terus berusaha untuk memburu kejuaraan pada edisi akan datang.
Oleh Adi Safarman



