Sarang tebuan sebesar tong sampah berjaya dimusnahkan APM Betong

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA APM Betong berjaya memusnahkan sarang tebuan yang bersaiz kira-kira sebesar tong sampah hitam di kawasan belakang kuarters berhampiran SK Saint Augustine, semalam. Foto: APM Betong

BETONG: Sarang tebuan yang bersaiz kira-kira sebesar tong sampah hitam di kawasan belakang kuarters berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Augustine, Betong, berjaya dimusnahkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong semalam.

Menurut APM Daerah Betong, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru pada 11.58 pagi yang memohon bantuan selepas menyedari kewujudan sarang tebuan di kawasan berkenaan.

Susulan laporan itu, seramai empat anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) APM Betong digerakkan ke lokasi pada 6.45 petang dan tiba sembilan minit kemudian, iaitu pada 6.54 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati sarang tebuan berkenaan berada di kawasan belakang kuarters dan mempunyai saiz yang dianggarkan sebesar tong sampah hitam, sekali gus berpotensi mendatangkan risiko kepada warga sekolah serta penduduk di kawasan sekitar.

Pasukan APM Betong kemudian mengambil tindakan memusnahkan sarang tersebut menggunakan teknik pembakaran dengan mengutamakan aspek keselamatan sepanjang operasi dijalankan.

Operasi berkenaan berjaya diselesaikan pada 7.47 malam, manakala keseluruhan peralatan yang digunakan turut dilaporkan berada dalam keadaan baik dan mencukupi.

APM Betong berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan kepada komuniti, khususnya dalam menangani sebarang ancaman yang berpotensi menjejaskan keselamatan orang awam.

Oleh Adi Safarman