Aduan rakyat perlu tindakan segera, agensi kerajaan diseru lebih responsif

Facebook
WhatsApp
PERJUMPAAN... Pegawai Daerah Subis Ashard Samshu bersama pihak MCMC, JBALB, SACOFA, SEB dan KMKK di sesi libat urus yang diadakan di Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bekenu bagi memastikan setiap aduan serta permasalahan rakyat diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

BEKENU: Sesi libat urus antara agensi kerajaan dan komuniti setempat diharap dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam, selain memastikan setiap aduan serta permasalahan rakyat diberi perhatian dan tindakan sewajarnya.

Pegawai Daerah Subis, Ashard Samshu berkata, antara isu yang perlu diberi perhatian ialah kerosakan kemudahan awam akibat perbuatan vandalisme serta kecurian wayar, khususnya yang membabitkan kemudahan menara telekomunikasi.

Menurutnya, masalah berkenaan bukan sahaja menjejaskan kemudahan awam, malah boleh memberi kesan kepada perkhidmatan yang diterima masyarakat setempat.

“Dalam perkara ini, pihak ketiga seperti pelaku vandalisme dan mereka yang mencuri wayar turut menjadi antara punca kerosakan kemudahan awam, terutama menara.

“Justeru, kerjasama daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) amat penting untuk menyalurkan maklumat yang tepat kepada rakyat serta membantu pihak berkuasa menangani masalah berkenaan,” katanya.

Beliau yang mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu, Datuk Rosey Yunus, berkata demikian pada sesi libat urus yang dianjurkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Wakil Rakyat DUN Bekenu di sini, hari ini.

Sesi berkenaan turut melibatkan beberapa agensi kerajaan dan agensi berkaitan, termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Sarawak Energy Berhad (SEB), Sacofa Sdn Bhd serta KMKK.

Ashard turut berharap agensi kerajaan tidak hanya membincangkan isu berkenaan di peringkat mesyuarat, sebaliknya mengambil tindakan segera terhadap persoalan dan aduan yang dikemukakan rakyat.

“Agensi kerajaan diharap tidak hanya bersuara di dalam bilik mesyuarat. Apa yang lebih penting ialah soalan dan masalah yang dibangkitkan rakyat perlu diambil tindakan dengan segera.

“Sehubungan itu, kita berharap semua agensi dapat terus memperbaiki perkhidmatan demi kepentingan masyarakat,” katanya.

Beliau menambah, sesi libat urus seperti itu penting kerana memberi ruang kepada masyarakat memahami dengan lebih jelas peranan, fungsi dan bidang tanggungjawab setiap agensi kerajaan.

Katanya, pertemuan secara bersemuka juga membolehkan isu yang dihadapi masyarakat dibincangkan secara terus, sekali gus membantu mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

Hadir pada sesi libat urus itu ialah Pengarah MCMC Cawangan Miri Fadzlida Hanim Abdul Razak, Pengurus Sacofa Sdn Bhd (Miri) Roger Gelati, Penolong Jurutera Kanan JBALB Tony Ganing, Jurutera Kanan SEB Mohamed Zaki, Pemanca Dr Ali Mudin, Penghulu Pui Kuan dan Penghulu Wan Fauzi.

Oleh Adum Liu