SARATOK: Pesta Saratok 2026 bakal berlangsung meriah dengan pelbagai program menarik yang disusun untuk menghiburkan masyarakat setempat serta menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar kawasan Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, persiapan bagi pesta berkenaan kini berada pada fasa akhir selepas satu pertemuan diadakan semalam bagi menyelaras pelbagai perkara menjelang penganjuran rasmi dari 2 hingga 4 Oktober depan.
Menurutnya, Pesta Saratok tahun ini menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pertandingan pangkah gasing pada 25 September, badminton pada 26 dan 27 September serta petanque pada 27 dan 28 September.
“Selain itu, turut diadakan pertandingan karaoke pada malam 2 dan 3 Oktober, Perahu Berhias pada malam 3 Oktober serta pentas hiburan yang menampilkan penyanyi Ameng Spring pada 4 Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Saratok Bil. 4/2026 yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid, di Pejabat Daerah Saratok, semalam.
Friday berkata, acara lumba perahu yang menjadi antara tarikan utama pesta berkenaan pula akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di Sungai Krian dengan penyertaan 26 pasukan.
“Majlis perasmian Pesta Saratok 2026 dijangka disempurnakan oleh Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, pada 3 Oktober di Pentas Utama Sri Kalaka, Saratok,” katanya.
Dalam pada itu, Friday berkata, program Fun Fair Mega juga telah mula beroperasi dengan pelbagai tarikan serta persembahan penyanyi tempatan pada setiap malam sepanjang tempoh penganjuran.
Beliau turut mengajak masyarakat setempat dan pengunjung dari kawasan sekitar untuk hadir memeriahkan Pesta Saratok 2026 yang bukan sahaja menjadi platform hiburan, malah menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh kemeriahan.
“Marilah kita sama-sama hadir dan memeriahkan Pesta Saratok 2026,” katanya.
Oleh Adi Safarman



