ROBAN: Biro Wanita di setiap rumah panjang disaran bergerak seiring dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi memastikan pengurusan komuniti, khususnya yang melibatkan golongan wanita, dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan berkesan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, peranan Biro Wanita amat penting dalam memperkukuh sosioekonomi masyarakat serta memberi manfaat kepada penduduk, terutama golongan wanita di rumah panjang.
Menurutnya, Biro Wanita bukan sekadar menguruskan aktiviti berkaitan wanita, malah berperanan sebagai penggerak utama dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan, ekonomi dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa peranan Biro Wanita di rumah panjang penting bagi memperkukuh ekonomi serta memberi manfaat kepada setiap penduduk, khususnya golongan wanita.
“Biro Wanita juga disarankan bergerak seiring dengan JKKK bagi memastikan pengurusan sesebuah rumah panjang lebih sistematik dan efisien,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan randau dan sesi bersemuka bersama Biro Wanita Rumah Panjang Gandik Lui, Sungai Engkabang, Roban, di sini semalam.
Mohamad Duri berkata, Biro Wanita turut mempunyai peranan besar dalam membantu wanita menceburi bidang keusahawanan dan meningkatkan kemahiran ekonomi bagi menambah pendapatan serta taraf ekonomi keluarga.
Katanya, selain aspek ekonomi, Biro Wanita juga menjadi penggerak aktiviti kemasyarakatan melalui penganjuran program sosial dan aktiviti kemasyarakatan, selain usaha memperkukuh keharmonian serta perpaduan dalam komuniti rumah panjang.
“Biro Wanita juga menjadi saluran komunikasi yang dekat dengan penduduk bagi mengenal pasti isu setempat serta menyampaikan maklumat daripada kepimpinan kepada masyarakat.
“Pada masa sama, ia menjadi platform untuk membina kapasiti, keyakinan diri dan kepimpinan wanita supaya lebih proaktif dalam pentadbiran serta pembangunan komuniti,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap semua Biro Wanita di rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka terus aktif dan mempelbagaikan aktiviti serta program yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Menurutnya, penglibatan aktif wanita di peringkat akar umbi bukan sahaja mampu memperkukuh institusi keluarga, malah turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Oleh Adi Safarman



