Sejarah Sarawak sebelum Brooke perlu dikaji lebih mendalam

Facebook
WhatsApp
ABDUL Karim bersama tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA: Sejarah Sarawak sebelum kedatangan James Brooke perlu dikaji dengan lebih mendalam bagi melengkapkan pemahaman mengenai perkembangan masyarakat dan tamadun di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penulisan sejarah Sarawak tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada zaman pemerintahan Brooke sehingga pembentukan Malaysia pada 1963.

“Kita tidak dapat melihatnya dalam perspektif satu atau dua agensi sahaja. Kalau kita lihat, selalunya penulisan berkenaan sejarah Sarawak melihatnya dari perspektif zaman Brooke. Tetapi kadang-kadang kita lupa, sebelum Brooke sampai ke Sarawak, apakah ceritanya? Bagaimanakah sejarahnya?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Sejarah Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, antara perkara yang boleh dikaji ialah asal usul nama beberapa kampung di Kuching yang mempunyai persamaan dengan nama bandar di Pulau Jawa seperti Kampung Gersik, Kampung Boyan, Kampung Surabaya dan Kampung Semarang.

Katanya, perkara berkenaan memerlukan kajian lanjut untuk mengetahui latar belakang dan perkembangan masyarakat di kawasan terbabit sebelum kedatangan Brooke.

Ketika ditemui media selepas majlis, Abdul Karim berkata, setakat ini beliau belum melihat penyelidikan yang dibukukan secara khusus mengenai asal usul nama kampung-kampung berkenaan.

“Bagi saya sebagai orang awam, nama-nama kampung ini mesti ada sejarahnya. Lebih-lebih lagi kalau kampung itu sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan bandar-bandar di Pulau Jawa,” katanya.

Beliau turut menyentuh kewujudan tapak sejarah di Santubong serta penemuan berkaitan Gua Niah yang menunjukkan keperluan untuk penyelidikan sejarah Sarawak dilakukan lebih jauh ke belakang.

“Sejarah-sejarah ini sedikit sebanyak dapat memberitahu kita bagaimana kita dapat hidup aman dan damai. Itu toleransi,” katanya.

Abdul Karim berkata, penyelidikan berkenaan tidak seharusnya bergantung kepada satu institusi sahaja kerana bahan sejarah Sarawak turut terdapat di Arkib Negara Malaysia, Jabatan Muzium Sarawak, Pustaka Negeri Sarawak, Jabatan Penerangan dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Selain itu, kerjasama antara agensi berkenaan penting bagi memudahkan penyelidik mendapatkan gambaran yang lebih lengkap ketika menjalankan kajian sejarah.

Sementara itu, beliau berkata, penyelidikan yang lebih mendalam perlu dilakukan oleh universiti, penyelidik dan pihak yang berminat dalam bidang sejarah sebelum hasil kajian tersebut dibukukan untuk rujukan masyarakat.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Abdul Karim dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Ahmad Sukri Abdul Kadir serta Pengerusi Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak, Dato’ Sanib Said.

Oleh Shikin Mahmud