SARIKEI: Kemajuan teknologi dan kemudahan komunikasi digital tidak seharusnya menggantikan nilai kebersamaan dan hubungan kekeluargaan yang menjadi asas penting dalam memastikan warisan sesebuah komuniti terus dipertahankan dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, kemudahan seperti panggilan video sememangnya memudahkan komunikasi, namun tidak dapat menggantikan kehangatan bersama ahli keluarga, khususnya golongan lebih berusia.
“Perayaan Pertengahan Musim Luruh bukan sahaja mengenai bulan purnama di langit, tetapi juga cahaya dan ketenangan di sebalik tradisi membawa tanglung dan menikmati keindahan bulan.
“Dalam era digital yang terus berkembang, semudah mana sekalipun panggilan video, ia tetap tidak dapat menggantikan kehangatan menemani golongan lebih berusia.
“Sepatah kata bertanya khabar, satu kunjungan dan satu hidangan bersama keluarga merupakan cahaya yang benar-benar memberikan ketenangan kepada mereka,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh wakilnya, Pemanca Chan Phan Chan pada majlis makan malam Persatuan Klan Chiang Hsia Huang, baru-baru ini.
Katanya, ia bukan sekadar untuk menghayati kembali tradisi, sebaliknya menjadi wadah mengeratkan hubungan antara barisan jawatankuasa, ahli Persatuan Klan Chiang Hsia Huang.
Huang juga mengibaratkan sesebuah persatuan sebagai sebatang pokok besar yang memerlukan kekuatan setiap generasi untuk terus tumbuh dan berkembang.
“Golongan lebih berusia adalah akar. Apabila akarnya tertanam kukuh, pokok besar tidak mudah tumbang ditiup angin dan dilanda hujan.
“Barisan jawatankuasa pula ibarat batang pokok yang menyokong dahan dan daun serta memberikan perlindungan kepada ahli.
“Anak-anak pula adalah tunas yang menyerap segala nutrien dan merupakan harapan masa depan. Persatuan bukan sahaja menjadi sokongan paling kukuh kepada seluruh anggota klan, malah menjadi asas yang melindungi pohon keluarga ini supaya terus berkembang subur dari generasi ke generasi,” katanya.
Tambahnya, sebagai wakil rakyat, beliau mahu semangat yang membawa rasa aman dan kebersamaan tersebut dapat dirasai masyarakat di seluruh Sarikei.
Huang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan yang membolehkan kepelbagaian budaya di Sarawak terus berkembang serta pembangunan di peringkat akar umbi dilaksanakan.
“Pelaburan berterusan kerajaan Sarawak dalam pembangunan di peringkat akar umbi membolehkan masyarakat menikmati manfaat pembangunan, manakala semangat mengutamakan rakyat serta keharmonian dan keterangkuman menjadi asas penting dalam kehidupan masyarakat Sarawak.
“Kepada anak-anak yang menerima insentif kecemerlangan akademik malam ini, tahniah kepada anda semua.
“Saya berharap anda terus berusaha, menjadi kebanggaan keluarga dan tonggak masyarakat pada masa hadapan,” katanya lagi.
Sebagai sokongan terhadap usaha persatuan tersebut, beliau turut menyalurkan peruntukan.
“Bagi menyokong Persatuan Klan Chiang Hsia Huang, saya mengumumkan peruntukan sebanyak RM20,000 dengan harapan pohon keluarga Huang akan terus berakar kukuh, berkembang subur dan diwarisi dari generasi ke generasi,” katanya.
Oleh Earl Anek





